Showing posts with label Islam. Show all posts
Showing posts with label Islam. Show all posts

Friday, September 23, 2016

Garis panduan berhibur??

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم

                                   السلام عليكم


Dalam Islam, konsep hiburan ialah untuk mencari kesejahteraan, ketenangan dan kepuasan, terlepas dari perasaan bersalah, ketegangan dan keresahan. Ia dapat dilakukan di waktu lapang, secara individu, bersama keluarga atau kawan-kawan, bahkan ketika beribadah seperti seni taranum membaca al-Quran, gubahan sajak dan syair yang membesarkan Allah dan sebagainya.
Konsep berhibur dengan tujuan untuk kesejahteraan, menenangkan fikiran dan kerehatan tubuh badan ini dapat dilihat dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. kepada Abdullah bin Amr bin al-As , yang bermaksud: "Wahai Abdullah bin Amr, "Sesungguhnya ke atas kamu hak untuk Allah s.w.t., dan ke atas kamu hak untuk tubuh kamu, dan ke atas kamu hak untuk keluarga kamu. Maka berilah kepada yang miliki hak tersebut."

Selain itu, Islam juga telah meletakkan garis panduan asas yang perlu dipatuhi bagi memastikan sebarang bentuk hiburan yang ingin diketengahkan ke dalam masyarakat tidak terbabas dari landasan syariat. Antaranya ialah niat yang betul, tiada unsur-unsur yang bercanggah dengan akidah dan syariat Islam, tidak meninggal dan melalaikan kewajiban yang difardhukan oleh Allah s.w.t., sentiasa menjaga adab-adab pergaulan, tiada unsur perjudian (pertaruhan) dan tidak berlaku pembaziran. Juga tujuannya hendaklah betul, seperti untuk kesihatan, ketenangan dan kepuasan, jalan untuk taqarub dan mencapai keredaaan Allah s.w.t., serta dapat menjalin hubungan sesama manusia.
Kami mengambil kesempatan ini untuk berkongsi dengan sahabat-sahabat seperjuangan sekalian mengenai panduan perlaksanaan program hiburan yang boleh sama-sama kita ikuti In shaa Allah
1. Persembahan Tarian

·    Berpakaian kemas, menutup aurat bagi yang Islam,  sopan, serta tidak memakai pakaian yang menjolok mata.
·     Tidak berlaku percampuran antara lelaki dan perempuan.
·      Tidak dipersembahkan dengan gaya yang memberahikan

 Tanggungjawab Penganjur
Penganjur hendaklah memastikan acara hiburan yang
 dianjurkan menepati garis panduan yang telah
disediakan.


Program Hiburan
·  Bermatlamatkan  kebaikan dan kesejahteraan
·   Diadakan di tempat yang bersesuaian supaya tidak mengganggu ketenteraman awam dan orang ramai
·  Mengambil kira masa yang bersesuaian dengan sensitivity masyarakat  dan ajaran Islam
·   Tidak mengandungi acara yang bersifat provokasi yang boleh menimbulkan sikap prejudis atau permusuhan.
·  Asingkan tempat duduk lelaki dan perempuan (kiri-kanan)
·  Berpakaian menutup aurat  dan sopan



    Lirik.
·    Tidak mengandungi ungkapan-ungkapan  yang menyentuh sensitiviti agama
·     Tidak mengandungi  unsur menghina , mengaib, mencaci,  memfitnah dan seumpamanya.


 Persembahan Artis
·     Berinteraksi  dengan penonton secara sopan dan disertai kata-kata yang boleh membina nilai-nilai kemanusiaan
·     Berpakaian kemas, sopan, menutup aurat bagi yang Islam serta tidak memakai pakaian yang menjolok mata.
·     Gerak tari yang dipersembahkan tidak melampaui batas
·     Tidak mengucapkan kata-kata yang menggalakkan perbuatan maksiat  atau menghina.
Asingkan tempat duduk

             Penonton :
·         Asingkan tempat duduk lelaki dan perempuan (kiri-kanan)
·         Berpakaian menutup aurat  dan sopan.

Tidak menjadi kesalahan sekiranya hiburan masa kini ingin disemarakkan tetapi dibangunkan dalam bentuk dan acuan yang bersandarkan kepada garis panduan Islam kerana pastinya ianya memiliki unsur-unsur positif, terkawal, bersifat mendidik, dan sesuai serta selesa dengan budaya tempatan. Berdasarkan kepada fakta sejarah, bahan dan bidang untuk kesenian dalam Islam adalah luas dengan segala kebaikan dan kehalusan seninya. Tetapi adakah masyarakat kita memberi laluan yang sewajarnya untuk perkembangan hiburan tanah air dilahirkan menerusi acuan dan pendekatan Islam?

In Shaa Allah sahabat-sahabat yang dikasihi, marilah kita sama-sama cuba sedaya upaya mendapatkan keredhaan Allah s..w.t. dalam konteks memenuhi naluri keinginan manusia menerusi hiburan yang terpimpin.



Rujukan : http://www.ikim.gov.my/index.php/ms/utusan-malaysia/7540-islam-dan-pembentukan-budaya-berhibur

Saturday, September 10, 2016

Kelebihan Hari Arafah

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم
Hari Arafah adalah hari pertemuan dan perjumpaan besar antara hamba yang merdeka dan Tuhannya yang Maha Menerima Taubat lagi Maha Mengasihani, kerana hari Arafah adalah hari makrifah, hari kebebasan, hari doa, hari kesempurnaan agama dan nikmat dan hari perpisahan.
.
Terlalu banyak keistimewaan dan kelebihan Hari Arafah di antara ialah:
.

1.  Hari Kemuliaan

Di antara kemuliaan hari ini ialah Allah SWT telah bersumpah dengan hari Arafah.
Firman Allah SWT:

(وَالسَّمَاءِ ذَاتِ الْبُرُ‌وجِ ﴿١﴾ وَالْيَوْمِ الْمَوْعُودِ ﴿٢﴾ وَشَاهِدٍ وَمَشْهُودٍ ﴿٣

“Demi langit yang mempunyai tempat-tempat peredaran bintang-bintang; Dan hari (pembalasan) yang dijanjikan; Dan makhluk-makhluk yang hadir menyaksikan hari itu, serta segala keadaan yang disaksikan.”  (Surah Al-Buruj: 1-3)
.
Rasulullah SAW bersabda: “Makhluk-makhluk yang hadir menyaksikan hari itu ialah hari Jumaat, dan segala keadaan yang disaksikan ialah hari Arafah, Jumaat adalah yang terbaik daripada Allah kepada kita.” (Ad-Dur al-Mantsur: 8/463 dan At-Tabary).
.
Begitu juga Allah SWT telah bersumpah dengan kebesaran hari mulia ini. FirmanNya:

(وَالْفَجْرِ‌ ﴿١﴾ وَلَيَالٍ عَشْرٍ‌ ﴿٢

“Demi waktu Fajar; Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah).”  (Surah Al-Fajr: 1-2)
.
Menurut Abdullah bin Zubair: “Dari 1 Zulhijjah hingga Hari Korban adalah termasuk hari Arafah.” (At-Tabary).
.
.

2.  Hari Disempurnakan Agama-Nya

Hari Arafah adalah hari yang agung kerana hari ini Allah telah menyempurnakan agama-Nya, dan melengkapkan nikmat-Nya:

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَ‌ضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا ۚ

“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agamamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” (Al-Maidah: 3).
.
.

3.  Hari Bulan Suci

Hari Arafah adalah termasuk satu hari dalam bulan-bulan suci di mana Allah SWT berfirman:

إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ‌ عِندَ اللَّـهِ اثْنَا عَشَرَ‌ شَهْرً‌ا فِي كِتَابِ اللَّـهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْ‌ضَ مِنْهَا أَرْ‌بَعَةٌ حُرُ‌مٌ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنفُسَكُمْ ۚ

“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah ugama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya).” 
(Surah At-Taubah: 36).
.
.

4.  Hari Beramal Soleh

Hari Arafah adalah salah satu hari dari hari-hari sepuluh yang dilebihkan untuk melakukan amal soleh seperti yang dikhabarkan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya:
“Tiadalah hari untuk beramal soleh yang paling disukai Allah dari hari-hari ini, iaitu hari-hari sepuluh (10 hari pertama Zulhijjah). Para sahabat bertanya; Wahai Rasulullah..Bukan jihad fi sabillah? Jawab nabi; Ya, Jihad fi sabillah tidak dapat mengatasinya, kecuali seseorang yang keluar berjihad dengan jiwa dan hartanya kemudian dia tidak pulang membawa sedikitpun daripada jiwa dan hartanya itu (menemui syahid).”  (Ahmad, al-Bukhari, Abu Daud dan Ibn Majah) “.
.
.

5.  Hari Pembebasan

Hari Arafah adalah hari pembebasan. Rasulullah SAW telah bersabda:
“Tidak ada satu hari pun yang di hari itu Allah lebih banyak membebaskan hamba-Nya dari api neraka daripada hari ‘Arafah, sebab pada hari itu Dia turun kemudian membangga-banggakan mereka di depan para malaikat seraya berfirman‘Apa yang mereka inginkan? ‘” (Sahih Muslim 3275).
Hari Arafah adalah hari yang utama di mana Allah Ta’ala membebaskan hamba-hambaNya dari api neraka dan Allah membangga-banggakan orang-orang di Arafah di depan para malaikat.
.
.

6.  Hari Permohonan Doa

Hari Arafah adalah hari doa dan hari perjumpaan antara hamba yang merdeka dan Tuhannya yang Maha Penerima Taubat lagi Maha Mengasihani. Pada hari pengampunan yang agung ini betapa banyak kebimbangan telah dilepaskan, dan berapa kesedihan telah diredakan dan berapa banyak keperluan telah ditunaikan. Oleh sebab itu Rasulullah SAW menggesa supaya membanyakkan berdoa pada hari yang agung ini. Baginda SAW bersabda:
“Sebaik-baik doa ialah doa pada hari ‘Arafah. Sebaik-baik ucapan yang pernah aku dan rasul sebelumku ungkapkan ialah tiada tuhan melainkan Allah …”(Riwayat at-Timizi).
.
.
.

B.    Pengajaran Daripada Hari Arafah

.
Terlalu banyak pengajaran hari Arafah yang boleh dipelajari, di antaranya adalah:
.

1.  Hari Peringatan

Pada hari ini mengingatkan kita kepada suatu urusan yang agung dan besar, yang menambahkan keimanan dan menguatkan hubungan dengan Pemilik Agama. Iaitu mengingatkan tentang hari kiamat dan melengkapkan persediaan dan bekalan untuk hari itu kerana pada hari itu perasaan tidak terkata dan nurani tidak tertulis, tetapi hanya dapat dinikmati bagi siapa yang melaksanakannya, seperti mana ada bijak pandai pernah mengatakan: “Siapa yang merasa dia tentu tahu.”
Ini adalah hari seumpama hari Perhimpunan terbesar seperti dalam FirmanNya:

إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَةً لِّمَنْ خَافَ عَذَابَ الْآخِرَ‌ةِ ۚ ذَٰلِكَ يَوْمٌ مَّجْمُوعٌ لَّهُ النَّاسُ وَذَٰلِكَ يَوْمٌ مَّشْهُودٌ ﴿١٠٣

“Iaitu hari yang dihimpunkan manusia padanya. Dan hari yang demikian ialah hari yang dihadiri oleh sekalian makhluk.” (Surah Al-Hud: 103).
.
Oleh itu, hari Arafah adalah gambaran kecil dari keadaan sebenar hari kiamat. Demi Allah, sekiranya para jemaah haji memerhatikan pemandangan ini dan bagi yang bukan jemaah haji boleh melihat melalui skrin, tentulah akan mengubah keadaan sedia ada kepada keadaan yang lebih baik dan menjadi hati yang tunduk patuh kepada Tuhan. Semua orang yang menyaksikan pemandangan ini dan perhimpunan orang ramai yang sangat besar di Arafat dan mendengar suara, pekikan dan jeritan, dia akan serta-merta berkata: Maha suci bagi Allah, Maha Suci bagi yang mengetahui bahasa mereka, Maha Suci bagi mampu membezakan suara mereka dan Maha Suci bagi yang tertunai hajat mereka.
.
.

2. Rahmat Tanpa Sempadan

Di Arafat terbuka penutup dan pintu syurga. Oleh itu, para jemaah menuju kepada Tuhan dengan hati yang bersih daripada kegelapan syahwat dan hawa nafsu, dan memancarkan cahaya sehingga menerangi dunia dan semua yang ada termasuklah yang sekecil zarah pun.
Di Arafah terjunjung semangat kemanusiaan tanpa kenal sempadan, antara tuan dan kuli, tua dan muda, kaya dan miskin, raja dan rakyat, mulia atau keji. Di tempat ini satu pelajaran agung iaitu tentang persamaan, di mana tidak ada orang yang boleh membezakan antara kaya dan miskin, tidak juga di antara yang kuat dan lemah, dan tidak juga di antara berkedudukan dan berpangkat dan tidak berkedudukan dan berpangkat.
.
.

3. Menyaksikan Penyatuan Umat

Perhimpunan umat Islam di Arafah pada hari yang mulia ini memberi peluang besar untuk menyaksikan manfaat Haji seperti yang dikehendaki dan disebut oleh Allah SWT:

وَإِذْ بَوَّأْنَا لِإِبْرَ‌اهِيمَ مَكَانَ الْبَيْتِ أَن لَّا تُشْرِ‌كْ بِي شَيْئًا وَطَهِّرْ‌ بَيْتِيَ لِلطَّائِفِينَ وَالْقَائِمِينَ وَالرُّ‌كَّعِ السُّجُودِ ﴿٢٦﴾ وَأَذِّن فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِ‌جَالًا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍ‌ يَأْتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ ﴿٢٧﴾ لِّيَشْهَدُوا مَنَافِعَ لَهُمْ

“Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh. Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka.”  (Surah Al-Hajj: 27-28)
.
Manfaat yang paling penting dan menjadi kewajipan yang tidak dapat dielakkan kepada umat Islam: Keperluan untuk kerjasama antara negara-negara Arab dan Islam. Perjumpaan di Arafah ini adalah peluang besar untuk menghapuskan jurang dan memikirkan tentang keadaan dunia Islam.
Di antara faktor yang membantu untuk mencapai kerjasama ini tercapai ialah; umat Islam adalah satu umat yang menggunakan bahasa yang satu, sejarah masa lalu yang satu, objektif yang satu, penyakit yang satu. Mereka di Arafat menuju kepada Tuhan yang satu , memakai pakaian yang satu, pada masa yang satu dan dengan laungan yang satu “Labbaikallah humma labbaik….”Semua ini membantu untuk mencapai kerjasama yang membuahkan kemajuan, kemakmuran,kecintaan dan keintiman, dan menggemblingkan tindakan yang memuaskan hati rakyat negara Arab.
.
.

4.  Pesanan Terakhir Rasulullah SAW

Inilah hari agung yang mengingatkan kita kepada makhluk yang paling agung yang pernah dijadikan Allah, mengingatkan kita dengan perhimpunan perpisahan di dalam haji Wida’. Tiada masa yang paling hebat dan tiada perhimpunan yang paling indah, melainkan di saat pertemuan antara utusan Allah yang membawa rahmat kepada seluruh alam bersama dengan orang ramai yang khusyuk dan merendak diri di hadapan Allah, Semua mereka memiliki hati yang sedar dan telinga yang mendengar untuk melihat perpisahan dan kata-kata perpisahan, iaitu kata-kata dari Rasulullah SAW yang tidak berkata-kata menurut hawa nafsunya.
.
Seluruh dunia telah mendengar kata-kata Rasulullah SAW yang telah mengumumkan prinsip-prinsip dan nilai-nilai hidup. Antara prinsip-prinsip yang paling penting ialah:
  1. Menghormati nyawa, harta dan kehormatan.
  2. Larangan riba.
  3. Keadilan iaitu satu ciri Islam yang utama
  4. Melindungi dan menjaga nyawa.
  5. Larangan mempersendakan agama Allah.
  6. Hak lelaki ke atas wanita, hak wanita ke atas lelaki.
  7. Ikatan utama umat Islam adalah ikatan akidah dan Islam. Ikatan ini yang membawa mereka kepada prinsip persamaan dan kerjasama dalam perlaksanaan undang-undang Islam.
.
Pada hari ini, Rasulullah SAW merumuskan untuk umat bahkan semua manusia tentang prinsip-prinsip kemanusiaan dan belas kasihan, dan meletakkan mereka kepada asas-asas keamanan dan kedamaian. Antara pesanan lain dari Rasulullah SAW untuk umatnya: Berpegang teguh kepada kitab Allah dan Sunnah Rasulullah SAW. Rasulullah telah menentukan secara tegas bahawa langkah dan cara terbaik untuk menyelesaikan masalah-masalah yang melanda umat Islam ialah untuk merujuk kepada Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.
.
.

5.  Pembebasan

Sepatutnya umat Islam, yang berada di Arafat dan lain-lain tempat-tempat suci, terutamanya Rumah Allah, jangan melupakan kiblat pertama umat Islam pertama: Al-Aqsa, yang mesti dikembalikan ke pangkuan umat Islam dan membebaskan dari cengkaman bangsa Yahudi. Ini adalah amanah dan tanggungjawab yang akan ditanya oleh Allah kepada kita pada hari kiamat nanti.
Kita memohon agar Allah menjadikan kita pada hari Arafah tergolong orang-orang yang diterima amalnya, orang-orang yang diberikan kemenangan dan orang-orang yang Allah bebaskan dari api neraka.

Sumber : https://shafiqolbu.wordpress.com/2012/10/20/pengajaran-dan-pembelajaran-dari-hari-arafah/#more-5525

Sunday, March 13, 2016

Menjaga Dan Memelihara Alam Sekitar Menurut Islam

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم

Sebagai seorang mukmin, kita tidak terkecuali dari tanggungjawab menjaga dan memelihara alam sekitar ini kerana kita telah diamanahkan melalui sabda Rasulullah SAW yang membawa maksud :

"Dunia ini hijau dan cantik dan Tuhan telah melantik kamu sebagai pengurusnya. Dia melihat apa yang kamu lakukan." (Hadis riwayat Muslim).

Alam sekitar membawa maksud :

“Suatu aset atau simpanan sumber-sumber alam sama ada berbentuk material dalam kelompok masyarakat atau populasi tertentu, pada waktu dan tempat yang tertentu bagi menyempurnakan dan memenuhi keperluan manusia dari masa ke semasa”. (Rujuk: Muhammad Sa’id dan Rasyid Ahmad. 1986. Al-Bi’ah wa musykilatiha. Kuwait: Maktabah al-Falah. Hal. 25).

Ibnu Abd. Rabbihi pula menyatakan takrif alam sekitar ini didalam kitabnya al-Jumanah dengan penjelasannya bahawa :

“Alam sekitar ialah yang merujuk kepada kehidupan ciptaan Ilahi dan kebudayaan yang wujud di mana manusia dapat menjalani kehidupan di dalamnya”(Rujuk: Muhammad Abd al-Qadir Al-Fiqqiyy. 1993. Al-Bi’ah Musykiluha wa Qadayaha. Kaherah: Maktabah Ibn Sina. Hal. 9.)



Kepentingan Menjaga Alam Sekitar

Al-Quran dan sunah telah memberikan satu penekanan yang serius mengenai penjagaan alam sekitar di mana kedua-dua sumber rujukan umat Islam ini menyeru setiap manusia untuk mengekalkan pemeliharaannya sebagai satu kurniaan atau nikmat Allah SWT yang agung.

Ia sama sekali melarang sebarang pencemaran dan kemusnahan alam sekitar disamping menggesa mereka untuk memanfaatkan khazanah alam ini dengan sebaiknya untuk kebaikan bersama disamping memeliharanya. Sesungguhnya usaha murni ini amat disanjung mulia disisi agama Islam bahkan dianggap sebagai ibadat yang agung disisi Allah SWT.

Alam sekitar tidak terhad kepada aspek estetika dan kebersihan fizikal semata-mata. Hakikatnya keseimbangan alam sekitar dan ekosistem memberi kesan ketara kepada keharmonian dan kesejahteraan hidup dan ianya mestilah selari dengan kemajuan negara serta kemakmuran yang dikecapi.

Tanpa rimbunan pokok, maka tadahan hujan untuk bekalan air akan mengurang. Tanpa hutan maka keupayaan menyerap gas karbon dioksida di atmosfera akan berkurangan. Tanpa udara yang bebas bahan cemar, maka kesihatan semua makhluk akan terancam.

Ajaran agama menjelaskan peranan alam sekitar sebagai salah satu unsur terpenting aspek ketuhanan dalam konteks kosmologi. Ajaran Islam pula menjelaskan kedudukan alam sekitar yang kudus dan tertib. Itulah rasionalnya alam sekitar dikemukakan sebagai salah satu teras konsep Islam Hadhari.



Pelestarian dan kepentingan alam sekitar disebutkan secara tersurat dan tersirat dalam banyak ayat al-Quran dan hadis diantaranya Allah SWT berfirman yang bermaksud:

"...(iaitu) Orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan mengenai penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, peliharalah kami daripada seksa neraka." (Surah Ali-Imran : 191).

Ayat ini menunjukkan bahawa secara fizikal, alam sekitar dan seluruh cakerawala ini adalah tanda kebesaran Allah SWT Yang Maha Pencipta. Orang-orang yang beriman perlu sentiasa berusaha menjadikan alam sekitar terpelihara dan bersih, bukan saja dalam keadaan aman, malah didalam apa jua situasi.

Ajaran Islam mengajar umatnya supaya melestarikan alam sekitar kerana di sebalik kehijauan hutan dan kebiruan langit, tertera ayatullah yang memperlihatkan sifat Allah SWT Yang Maha Kuasa dan Maha Pencipta.


Tanggungjawab Menjaga Alam Sekitar

Bumi ini bukanlah hak milik manusia untuk berbuat sesuka hati tetapi bumi ini adalah hak milik Allah SWT yang dipinjamkan kepada manusia untuk berkongsi hidup dengan makhluk-makhluk yang lain yang kemudiannya dituntut untuk menjalankan segala perintah Allah SWT diatasnya.

Justeru itu, setiap umat manusia perlu ingat bahawa kehadiran kita ini adalah sebagai khalifah Allah SWT diatas muka bumi yang juga milik Allah SWT. Maka tidak sepatutnya manusia bertindak seperti raja yang seolah-olah tidak akan dipertanggungjawabkan di atas segala yang telah dikerjakannya.

Ingatlah, adalah tanggungjawab kita untuk memelihara dan menjaga alam sekitar dan ingatlah akan azab Allah SWT seandainya kita mengingkari perintahnya!

"Telah berlaku kerosakan di darat dan di laut kesan daripada perbuatan manusia, demikian (supaya Allah) merasakan kepada mereka terhadap (kerosakan) yang mereka lakukan, semoga mereka kembali bertaubat." (Surah Al-Rum ayat 41)

Setiap perbuatan yang baik dan melaksanakan tanggungajawab itu pasti akan mendapat ganjaran yang setimpal... Sesungguhnya Allah SWT itu Maha Adil, Maha Pemurah lagi Maha Bijaksana...

“Tidak ada seorang muslim yang menanam tanaman atau menyemai semaian lalu burung, atau insan atau binatang berkaki empat memakannya, melainkan untuknya (pahala) sedekah”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)





Sumber
Menjaga Dan Memelihara Alam Sekitar Menurut Islam - Relaks Minda http://relakssminda.blogspot.com/2014/09/menjaga-dan-memelihara-alam-sekitar.html#ixzz42hj3LrXU 

Saturday, February 13, 2016

Islamofobia

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم




Mesti ramai yang tertanya-tanya apakah itu ISLAMOFOBIA? Bagaimanakah isu ISLAMOFOBIA itu terhasil? Dalam nukilan blog PGPI kali ini, kita akan mendalami dan mengenal serba sedikit mengenai isu ISLAMOFOBIA yang secara tidak langsung telah menyebabkan banyak pihak mempunyai anggapan negatif yang SALAH terhadap agama islam.


ISLAMOFOBIA merupakan istilah kontroversi yang merujuk kepada pandangan yang negative terhadap islam. Istilah ini sudah bermula sejak tahun 1980an tetapi mula terkenal setelah berlakunya tragedi serangan 11 September 2001 yang telah mengorbankan 2996 nyawa. Peristiwa ini sebenarnya telah memberi peluang kepada musuh-musuh islam untuk terus memberikan perspektif buruk terhadap agama islam kepada orang ramai. Bahkan, terdapat beberapa gerakan yang telah diatur dan dibiayai sepenuhnya oleh pihak tertentu untuk menyebarkan propaganda ISLAMOFOBIA terhadap seluruh masyarakat dunia. Islamofobio ini merujuk kepada perasaan takut dan kebencian terhadap islam juga terhadap semua muslim. 


Walaupun terdapat banyak lagi gerakan yang mempelopori keganasan seperti Liberation Tigers of Tamil Elam di Sri Lanka, gerakan Khalistani di India, Pemberontak Ireland Utara, ‘Basque separatists’ di Sepanyol, Zionis Israel dan Ku Klux Clan di Amerika, kumpulan-kumpulan ini tidak pula dianggap sebagai mewakili agama mereka dan tiada istilah Kristianofobia atau Hindufobia atau Judaismofobia dikaitkan dengan mereka. Ini membuktikan bahawa fenomena Islamofobia yang berlaku di dunia ini bukanlah sangat disebabkan oleh jenayah keganasan umat Islam sahaja tetapi ianya juga berkaitan dengan faktor-faktor lain yang perlu diberikan perhatian secara serius oleh umat Islam.



Justeru, sebagai umat islam kita hendaklah menunjukkan teladan yang baik seperti mana yang telah disyariatkan oleh agama islam. Kita hendaklah berusaha menunjukkan bahawasanya agama islam adalah sebuah agama yang indah seperti yang telah ditunjukkan oleh nabi junjungan kita iaitu Nabi Muhammad s.a.w. Islam telah mengajar umatnya untuk sering melakukan kebaikan bukan sahaja terhadap saudara seagamanya bahkan melakukan kebaikan kepada penganut agama yang lain. Hal ini dapat kita lihat melalui sifat baginda Rasulullah yang memberi makan kepada seorang yahudi yang tua dan buta.


Islam itu adalah suatu agama yang indah sekiranya kita mendalaminya. Sebagai umat islam, kita hendaklah mengamalkan nilai yang telah diterapkan oleh Rasulullah. Janganlah kita menjadi nila yang merosakkan nilai keindahan islam di mata dunia. Kita sepatutnya berusaha untuk memperkenalkan agama islam sebagai suatu agama yang indah dan terdidik kepada seluruh masyarakat dunia. Islam adalah agama yang lengkap yang meliputi segala aspek dalam kehidupan seharian bermulanya dari kita membuka mata di subuh hari sehinggalah kita menutup mata di malam hari. Bahkan, kita diajar beberapa sunnah sebelum tidur agar tidur kita juga menjadi suatu ibadah.


Kesimpulannya, marilah kita bersama-sama memperbaiki diri mengikut apa yang telah digarispandukan oleh agama islam. Setiap apa yang kita lakukan dalam kehidupan akan menjadi semakin indah sekiranya kita melaksanakannya berpandukan Al-Quran dan As-sunnah. Sekian sahaja perkongsian daripada blog PGPI pada kali ini. In sha allah, penuhkanlah diri kita dengan pengetahuan mengenai islam agar kita dapat menjadi penyuluh kepada saudara-saudara kita yang memerlukan pembimbing untuk mengenal islam dengan lebih mendalam…

Sekian terima kasih dan selamat beramal…