Saturday, February 13, 2016

Islamofobia

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم




Mesti ramai yang tertanya-tanya apakah itu ISLAMOFOBIA? Bagaimanakah isu ISLAMOFOBIA itu terhasil? Dalam nukilan blog PGPI kali ini, kita akan mendalami dan mengenal serba sedikit mengenai isu ISLAMOFOBIA yang secara tidak langsung telah menyebabkan banyak pihak mempunyai anggapan negatif yang SALAH terhadap agama islam.


ISLAMOFOBIA merupakan istilah kontroversi yang merujuk kepada pandangan yang negative terhadap islam. Istilah ini sudah bermula sejak tahun 1980an tetapi mula terkenal setelah berlakunya tragedi serangan 11 September 2001 yang telah mengorbankan 2996 nyawa. Peristiwa ini sebenarnya telah memberi peluang kepada musuh-musuh islam untuk terus memberikan perspektif buruk terhadap agama islam kepada orang ramai. Bahkan, terdapat beberapa gerakan yang telah diatur dan dibiayai sepenuhnya oleh pihak tertentu untuk menyebarkan propaganda ISLAMOFOBIA terhadap seluruh masyarakat dunia. Islamofobio ini merujuk kepada perasaan takut dan kebencian terhadap islam juga terhadap semua muslim. 


Walaupun terdapat banyak lagi gerakan yang mempelopori keganasan seperti Liberation Tigers of Tamil Elam di Sri Lanka, gerakan Khalistani di India, Pemberontak Ireland Utara, ‘Basque separatists’ di Sepanyol, Zionis Israel dan Ku Klux Clan di Amerika, kumpulan-kumpulan ini tidak pula dianggap sebagai mewakili agama mereka dan tiada istilah Kristianofobia atau Hindufobia atau Judaismofobia dikaitkan dengan mereka. Ini membuktikan bahawa fenomena Islamofobia yang berlaku di dunia ini bukanlah sangat disebabkan oleh jenayah keganasan umat Islam sahaja tetapi ianya juga berkaitan dengan faktor-faktor lain yang perlu diberikan perhatian secara serius oleh umat Islam.



Justeru, sebagai umat islam kita hendaklah menunjukkan teladan yang baik seperti mana yang telah disyariatkan oleh agama islam. Kita hendaklah berusaha menunjukkan bahawasanya agama islam adalah sebuah agama yang indah seperti yang telah ditunjukkan oleh nabi junjungan kita iaitu Nabi Muhammad s.a.w. Islam telah mengajar umatnya untuk sering melakukan kebaikan bukan sahaja terhadap saudara seagamanya bahkan melakukan kebaikan kepada penganut agama yang lain. Hal ini dapat kita lihat melalui sifat baginda Rasulullah yang memberi makan kepada seorang yahudi yang tua dan buta.


Islam itu adalah suatu agama yang indah sekiranya kita mendalaminya. Sebagai umat islam, kita hendaklah mengamalkan nilai yang telah diterapkan oleh Rasulullah. Janganlah kita menjadi nila yang merosakkan nilai keindahan islam di mata dunia. Kita sepatutnya berusaha untuk memperkenalkan agama islam sebagai suatu agama yang indah dan terdidik kepada seluruh masyarakat dunia. Islam adalah agama yang lengkap yang meliputi segala aspek dalam kehidupan seharian bermulanya dari kita membuka mata di subuh hari sehinggalah kita menutup mata di malam hari. Bahkan, kita diajar beberapa sunnah sebelum tidur agar tidur kita juga menjadi suatu ibadah.


Kesimpulannya, marilah kita bersama-sama memperbaiki diri mengikut apa yang telah digarispandukan oleh agama islam. Setiap apa yang kita lakukan dalam kehidupan akan menjadi semakin indah sekiranya kita melaksanakannya berpandukan Al-Quran dan As-sunnah. Sekian sahaja perkongsian daripada blog PGPI pada kali ini. In sha allah, penuhkanlah diri kita dengan pengetahuan mengenai islam agar kita dapat menjadi penyuluh kepada saudara-saudara kita yang memerlukan pembimbing untuk mengenal islam dengan lebih mendalam…

Sekian terima kasih dan selamat beramal…

No comments :