Showing posts with label adab. Show all posts
Showing posts with label adab. Show all posts

Friday, September 23, 2016

Garis panduan berhibur??

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم

                                   السلام عليكم


Dalam Islam, konsep hiburan ialah untuk mencari kesejahteraan, ketenangan dan kepuasan, terlepas dari perasaan bersalah, ketegangan dan keresahan. Ia dapat dilakukan di waktu lapang, secara individu, bersama keluarga atau kawan-kawan, bahkan ketika beribadah seperti seni taranum membaca al-Quran, gubahan sajak dan syair yang membesarkan Allah dan sebagainya.
Konsep berhibur dengan tujuan untuk kesejahteraan, menenangkan fikiran dan kerehatan tubuh badan ini dapat dilihat dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. kepada Abdullah bin Amr bin al-As , yang bermaksud: "Wahai Abdullah bin Amr, "Sesungguhnya ke atas kamu hak untuk Allah s.w.t., dan ke atas kamu hak untuk tubuh kamu, dan ke atas kamu hak untuk keluarga kamu. Maka berilah kepada yang miliki hak tersebut."

Selain itu, Islam juga telah meletakkan garis panduan asas yang perlu dipatuhi bagi memastikan sebarang bentuk hiburan yang ingin diketengahkan ke dalam masyarakat tidak terbabas dari landasan syariat. Antaranya ialah niat yang betul, tiada unsur-unsur yang bercanggah dengan akidah dan syariat Islam, tidak meninggal dan melalaikan kewajiban yang difardhukan oleh Allah s.w.t., sentiasa menjaga adab-adab pergaulan, tiada unsur perjudian (pertaruhan) dan tidak berlaku pembaziran. Juga tujuannya hendaklah betul, seperti untuk kesihatan, ketenangan dan kepuasan, jalan untuk taqarub dan mencapai keredaaan Allah s.w.t., serta dapat menjalin hubungan sesama manusia.
Kami mengambil kesempatan ini untuk berkongsi dengan sahabat-sahabat seperjuangan sekalian mengenai panduan perlaksanaan program hiburan yang boleh sama-sama kita ikuti In shaa Allah
1. Persembahan Tarian

·    Berpakaian kemas, menutup aurat bagi yang Islam,  sopan, serta tidak memakai pakaian yang menjolok mata.
·     Tidak berlaku percampuran antara lelaki dan perempuan.
·      Tidak dipersembahkan dengan gaya yang memberahikan

 Tanggungjawab Penganjur
Penganjur hendaklah memastikan acara hiburan yang
 dianjurkan menepati garis panduan yang telah
disediakan.


Program Hiburan
·  Bermatlamatkan  kebaikan dan kesejahteraan
·   Diadakan di tempat yang bersesuaian supaya tidak mengganggu ketenteraman awam dan orang ramai
·  Mengambil kira masa yang bersesuaian dengan sensitivity masyarakat  dan ajaran Islam
·   Tidak mengandungi acara yang bersifat provokasi yang boleh menimbulkan sikap prejudis atau permusuhan.
·  Asingkan tempat duduk lelaki dan perempuan (kiri-kanan)
·  Berpakaian menutup aurat  dan sopan



    Lirik.
·    Tidak mengandungi ungkapan-ungkapan  yang menyentuh sensitiviti agama
·     Tidak mengandungi  unsur menghina , mengaib, mencaci,  memfitnah dan seumpamanya.


 Persembahan Artis
·     Berinteraksi  dengan penonton secara sopan dan disertai kata-kata yang boleh membina nilai-nilai kemanusiaan
·     Berpakaian kemas, sopan, menutup aurat bagi yang Islam serta tidak memakai pakaian yang menjolok mata.
·     Gerak tari yang dipersembahkan tidak melampaui batas
·     Tidak mengucapkan kata-kata yang menggalakkan perbuatan maksiat  atau menghina.
Asingkan tempat duduk

             Penonton :
·         Asingkan tempat duduk lelaki dan perempuan (kiri-kanan)
·         Berpakaian menutup aurat  dan sopan.

Tidak menjadi kesalahan sekiranya hiburan masa kini ingin disemarakkan tetapi dibangunkan dalam bentuk dan acuan yang bersandarkan kepada garis panduan Islam kerana pastinya ianya memiliki unsur-unsur positif, terkawal, bersifat mendidik, dan sesuai serta selesa dengan budaya tempatan. Berdasarkan kepada fakta sejarah, bahan dan bidang untuk kesenian dalam Islam adalah luas dengan segala kebaikan dan kehalusan seninya. Tetapi adakah masyarakat kita memberi laluan yang sewajarnya untuk perkembangan hiburan tanah air dilahirkan menerusi acuan dan pendekatan Islam?

In Shaa Allah sahabat-sahabat yang dikasihi, marilah kita sama-sama cuba sedaya upaya mendapatkan keredhaan Allah s..w.t. dalam konteks memenuhi naluri keinginan manusia menerusi hiburan yang terpimpin.



Rujukan : http://www.ikim.gov.my/index.php/ms/utusan-malaysia/7540-islam-dan-pembentukan-budaya-berhibur

Saturday, September 10, 2016

Kelebihan Hari Arafah

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم
Hari Arafah adalah hari pertemuan dan perjumpaan besar antara hamba yang merdeka dan Tuhannya yang Maha Menerima Taubat lagi Maha Mengasihani, kerana hari Arafah adalah hari makrifah, hari kebebasan, hari doa, hari kesempurnaan agama dan nikmat dan hari perpisahan.
.
Terlalu banyak keistimewaan dan kelebihan Hari Arafah di antara ialah:
.

1.  Hari Kemuliaan

Di antara kemuliaan hari ini ialah Allah SWT telah bersumpah dengan hari Arafah.
Firman Allah SWT:

(وَالسَّمَاءِ ذَاتِ الْبُرُ‌وجِ ﴿١﴾ وَالْيَوْمِ الْمَوْعُودِ ﴿٢﴾ وَشَاهِدٍ وَمَشْهُودٍ ﴿٣

“Demi langit yang mempunyai tempat-tempat peredaran bintang-bintang; Dan hari (pembalasan) yang dijanjikan; Dan makhluk-makhluk yang hadir menyaksikan hari itu, serta segala keadaan yang disaksikan.”  (Surah Al-Buruj: 1-3)
.
Rasulullah SAW bersabda: “Makhluk-makhluk yang hadir menyaksikan hari itu ialah hari Jumaat, dan segala keadaan yang disaksikan ialah hari Arafah, Jumaat adalah yang terbaik daripada Allah kepada kita.” (Ad-Dur al-Mantsur: 8/463 dan At-Tabary).
.
Begitu juga Allah SWT telah bersumpah dengan kebesaran hari mulia ini. FirmanNya:

(وَالْفَجْرِ‌ ﴿١﴾ وَلَيَالٍ عَشْرٍ‌ ﴿٢

“Demi waktu Fajar; Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah).”  (Surah Al-Fajr: 1-2)
.
Menurut Abdullah bin Zubair: “Dari 1 Zulhijjah hingga Hari Korban adalah termasuk hari Arafah.” (At-Tabary).
.
.

2.  Hari Disempurnakan Agama-Nya

Hari Arafah adalah hari yang agung kerana hari ini Allah telah menyempurnakan agama-Nya, dan melengkapkan nikmat-Nya:

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَ‌ضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا ۚ

“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agamamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” (Al-Maidah: 3).
.
.

3.  Hari Bulan Suci

Hari Arafah adalah termasuk satu hari dalam bulan-bulan suci di mana Allah SWT berfirman:

إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ‌ عِندَ اللَّـهِ اثْنَا عَشَرَ‌ شَهْرً‌ا فِي كِتَابِ اللَّـهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْ‌ضَ مِنْهَا أَرْ‌بَعَةٌ حُرُ‌مٌ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنفُسَكُمْ ۚ

“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah ugama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya).” 
(Surah At-Taubah: 36).
.
.

4.  Hari Beramal Soleh

Hari Arafah adalah salah satu hari dari hari-hari sepuluh yang dilebihkan untuk melakukan amal soleh seperti yang dikhabarkan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya:
“Tiadalah hari untuk beramal soleh yang paling disukai Allah dari hari-hari ini, iaitu hari-hari sepuluh (10 hari pertama Zulhijjah). Para sahabat bertanya; Wahai Rasulullah..Bukan jihad fi sabillah? Jawab nabi; Ya, Jihad fi sabillah tidak dapat mengatasinya, kecuali seseorang yang keluar berjihad dengan jiwa dan hartanya kemudian dia tidak pulang membawa sedikitpun daripada jiwa dan hartanya itu (menemui syahid).”  (Ahmad, al-Bukhari, Abu Daud dan Ibn Majah) “.
.
.

5.  Hari Pembebasan

Hari Arafah adalah hari pembebasan. Rasulullah SAW telah bersabda:
“Tidak ada satu hari pun yang di hari itu Allah lebih banyak membebaskan hamba-Nya dari api neraka daripada hari ‘Arafah, sebab pada hari itu Dia turun kemudian membangga-banggakan mereka di depan para malaikat seraya berfirman: ‘Apa yang mereka inginkan? ‘” (Sahih Muslim 3275).
Hari Arafah adalah hari yang utama di mana Allah Ta’ala membebaskan hamba-hambaNya dari api neraka dan Allah membangga-banggakan orang-orang di Arafah di depan para malaikat.
.
.

6.  Hari Permohonan Doa

Hari Arafah adalah hari doa dan hari perjumpaan antara hamba yang merdeka dan Tuhannya yang Maha Penerima Taubat lagi Maha Mengasihani. Pada hari pengampunan yang agung ini betapa banyak kebimbangan telah dilepaskan, dan berapa kesedihan telah diredakan dan berapa banyak keperluan telah ditunaikan. Oleh sebab itu Rasulullah SAW menggesa supaya membanyakkan berdoa pada hari yang agung ini. Baginda SAW bersabda:
“Sebaik-baik doa ialah doa pada hari ‘Arafah. Sebaik-baik ucapan yang pernah aku dan rasul sebelumku ungkapkan ialah tiada tuhan melainkan Allah …”(Riwayat at-Timizi).
.
.
.

B.    Pengajaran Daripada Hari Arafah

.
Terlalu banyak pengajaran hari Arafah yang boleh dipelajari, di antaranya adalah:
.

1.  Hari Peringatan

Pada hari ini mengingatkan kita kepada suatu urusan yang agung dan besar, yang menambahkan keimanan dan menguatkan hubungan dengan Pemilik Agama. Iaitu mengingatkan tentang hari kiamat dan melengkapkan persediaan dan bekalan untuk hari itu kerana pada hari itu perasaan tidak terkata dan nurani tidak tertulis, tetapi hanya dapat dinikmati bagi siapa yang melaksanakannya, seperti mana ada bijak pandai pernah mengatakan: “Siapa yang merasa dia tentu tahu.”
Ini adalah hari seumpama hari Perhimpunan terbesar seperti dalam FirmanNya:

إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَةً لِّمَنْ خَافَ عَذَابَ الْآخِرَ‌ةِ ۚ ذَٰلِكَ يَوْمٌ مَّجْمُوعٌ لَّهُ النَّاسُ وَذَٰلِكَ يَوْمٌ مَّشْهُودٌ ﴿١٠٣﴾

“Iaitu hari yang dihimpunkan manusia padanya. Dan hari yang demikian ialah hari yang dihadiri oleh sekalian makhluk.” (Surah Al-Hud: 103).
.
Oleh itu, hari Arafah adalah gambaran kecil dari keadaan sebenar hari kiamat. Demi Allah, sekiranya para jemaah haji memerhatikan pemandangan ini dan bagi yang bukan jemaah haji boleh melihat melalui skrin, tentulah akan mengubah keadaan sedia ada kepada keadaan yang lebih baik dan menjadi hati yang tunduk patuh kepada Tuhan. Semua orang yang menyaksikan pemandangan ini dan perhimpunan orang ramai yang sangat besar di Arafat dan mendengar suara, pekikan dan jeritan, dia akan serta-merta berkata: Maha suci bagi Allah, Maha Suci bagi yang mengetahui bahasa mereka, Maha Suci bagi mampu membezakan suara mereka dan Maha Suci bagi yang tertunai hajat mereka.
.
.

2. Rahmat Tanpa Sempadan

Di Arafat terbuka penutup dan pintu syurga. Oleh itu, para jemaah menuju kepada Tuhan dengan hati yang bersih daripada kegelapan syahwat dan hawa nafsu, dan memancarkan cahaya sehingga menerangi dunia dan semua yang ada termasuklah yang sekecil zarah pun.
Di Arafah terjunjung semangat kemanusiaan tanpa kenal sempadan, antara tuan dan kuli, tua dan muda, kaya dan miskin, raja dan rakyat, mulia atau keji. Di tempat ini satu pelajaran agung iaitu tentang persamaan, di mana tidak ada orang yang boleh membezakan antara kaya dan miskin, tidak juga di antara yang kuat dan lemah, dan tidak juga di antara berkedudukan dan berpangkat dan tidak berkedudukan dan berpangkat.
.
.

3. Menyaksikan Penyatuan Umat

Perhimpunan umat Islam di Arafah pada hari yang mulia ini memberi peluang besar untuk menyaksikan manfaat Haji seperti yang dikehendaki dan disebut oleh Allah SWT:

وَإِذْ بَوَّأْنَا لِإِبْرَ‌اهِيمَ مَكَانَ الْبَيْتِ أَن لَّا تُشْرِ‌كْ بِي شَيْئًا وَطَهِّرْ‌ بَيْتِيَ لِلطَّائِفِينَ وَالْقَائِمِينَ وَالرُّ‌كَّعِ السُّجُودِ ﴿٢٦﴾ وَأَذِّن فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِ‌جَالًا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍ‌ يَأْتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ ﴿٢٧﴾ لِّيَشْهَدُوا مَنَافِعَ لَهُمْ

“Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh. Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka.”  (Surah Al-Hajj: 27-28)
.
Manfaat yang paling penting dan menjadi kewajipan yang tidak dapat dielakkan kepada umat Islam: Keperluan untuk kerjasama antara negara-negara Arab dan Islam. Perjumpaan di Arafah ini adalah peluang besar untuk menghapuskan jurang dan memikirkan tentang keadaan dunia Islam.
Di antara faktor yang membantu untuk mencapai kerjasama ini tercapai ialah; umat Islam adalah satu umat yang menggunakan bahasa yang satu, sejarah masa lalu yang satu, objektif yang satu, penyakit yang satu. Mereka di Arafat menuju kepada Tuhan yang satu , memakai pakaian yang satu, pada masa yang satu dan dengan laungan yang satu “Labbaikallah humma labbaik….”Semua ini membantu untuk mencapai kerjasama yang membuahkan kemajuan, kemakmuran,kecintaan dan keintiman, dan menggemblingkan tindakan yang memuaskan hati rakyat negara Arab.
.
.

4.  Pesanan Terakhir Rasulullah SAW

Inilah hari agung yang mengingatkan kita kepada makhluk yang paling agung yang pernah dijadikan Allah, mengingatkan kita dengan perhimpunan perpisahan di dalam haji Wida’. Tiada masa yang paling hebat dan tiada perhimpunan yang paling indah, melainkan di saat pertemuan antara utusan Allah yang membawa rahmat kepada seluruh alam bersama dengan orang ramai yang khusyuk dan merendak diri di hadapan Allah, Semua mereka memiliki hati yang sedar dan telinga yang mendengar untuk melihat perpisahan dan kata-kata perpisahan, iaitu kata-kata dari Rasulullah SAW yang tidak berkata-kata menurut hawa nafsunya.
.
Seluruh dunia telah mendengar kata-kata Rasulullah SAW yang telah mengumumkan prinsip-prinsip dan nilai-nilai hidup. Antara prinsip-prinsip yang paling penting ialah:
  1. Menghormati nyawa, harta dan kehormatan.
  2. Larangan riba.
  3. Keadilan iaitu satu ciri Islam yang utama
  4. Melindungi dan menjaga nyawa.
  5. Larangan mempersendakan agama Allah.
  6. Hak lelaki ke atas wanita, hak wanita ke atas lelaki.
  7. Ikatan utama umat Islam adalah ikatan akidah dan Islam. Ikatan ini yang membawa mereka kepada prinsip persamaan dan kerjasama dalam perlaksanaan undang-undang Islam.
.
Pada hari ini, Rasulullah SAW merumuskan untuk umat bahkan semua manusia tentang prinsip-prinsip kemanusiaan dan belas kasihan, dan meletakkan mereka kepada asas-asas keamanan dan kedamaian. Antara pesanan lain dari Rasulullah SAW untuk umatnya: Berpegang teguh kepada kitab Allah dan Sunnah Rasulullah SAW. Rasulullah telah menentukan secara tegas bahawa langkah dan cara terbaik untuk menyelesaikan masalah-masalah yang melanda umat Islam ialah untuk merujuk kepada Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.
.
.

5.  Pembebasan

Sepatutnya umat Islam, yang berada di Arafat dan lain-lain tempat-tempat suci, terutamanya Rumah Allah, jangan melupakan kiblat pertama umat Islam pertama: Al-Aqsa, yang mesti dikembalikan ke pangkuan umat Islam dan membebaskan dari cengkaman bangsa Yahudi. Ini adalah amanah dan tanggungjawab yang akan ditanya oleh Allah kepada kita pada hari kiamat nanti.
Kita memohon agar Allah menjadikan kita pada hari Arafah tergolong orang-orang yang diterima amalnya, orang-orang yang diberikan kemenangan dan orang-orang yang Allah bebaskan dari api neraka.

Sumber : https://shafiqolbu.wordpress.com/2012/10/20/pengajaran-dan-pembelajaran-dari-hari-arafah/#more-5525

Sunday, March 13, 2016

Menjaga Dan Memelihara Alam Sekitar Menurut Islam

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم

Sebagai seorang mukmin, kita tidak terkecuali dari tanggungjawab menjaga dan memelihara alam sekitar ini kerana kita telah diamanahkan melalui sabda Rasulullah SAW yang membawa maksud :

"Dunia ini hijau dan cantik dan Tuhan telah melantik kamu sebagai pengurusnya. Dia melihat apa yang kamu lakukan." (Hadis riwayat Muslim).

Alam sekitar membawa maksud :

“Suatu aset atau simpanan sumber-sumber alam sama ada berbentuk material dalam kelompok masyarakat atau populasi tertentu, pada waktu dan tempat yang tertentu bagi menyempurnakan dan memenuhi keperluan manusia dari masa ke semasa”. (Rujuk: Muhammad Sa’id dan Rasyid Ahmad. 1986. Al-Bi’ah wa musykilatiha. Kuwait: Maktabah al-Falah. Hal. 25).

Ibnu Abd. Rabbihi pula menyatakan takrif alam sekitar ini didalam kitabnya al-Jumanah dengan penjelasannya bahawa :

“Alam sekitar ialah yang merujuk kepada kehidupan ciptaan Ilahi dan kebudayaan yang wujud di mana manusia dapat menjalani kehidupan di dalamnya”. (Rujuk: Muhammad Abd al-Qadir Al-Fiqqiyy. 1993. Al-Bi’ah Musykiluha wa Qadayaha. Kaherah: Maktabah Ibn Sina. Hal. 9.)



Kepentingan Menjaga Alam Sekitar

Al-Quran dan sunah telah memberikan satu penekanan yang serius mengenai penjagaan alam sekitar di mana kedua-dua sumber rujukan umat Islam ini menyeru setiap manusia untuk mengekalkan pemeliharaannya sebagai satu kurniaan atau nikmat Allah SWT yang agung.

Ia sama sekali melarang sebarang pencemaran dan kemusnahan alam sekitar disamping menggesa mereka untuk memanfaatkan khazanah alam ini dengan sebaiknya untuk kebaikan bersama disamping memeliharanya. Sesungguhnya usaha murni ini amat disanjung mulia disisi agama Islam bahkan dianggap sebagai ibadat yang agung disisi Allah SWT.

Alam sekitar tidak terhad kepada aspek estetika dan kebersihan fizikal semata-mata. Hakikatnya keseimbangan alam sekitar dan ekosistem memberi kesan ketara kepada keharmonian dan kesejahteraan hidup dan ianya mestilah selari dengan kemajuan negara serta kemakmuran yang dikecapi.

Tanpa rimbunan pokok, maka tadahan hujan untuk bekalan air akan mengurang. Tanpa hutan maka keupayaan menyerap gas karbon dioksida di atmosfera akan berkurangan. Tanpa udara yang bebas bahan cemar, maka kesihatan semua makhluk akan terancam.

Ajaran agama menjelaskan peranan alam sekitar sebagai salah satu unsur terpenting aspek ketuhanan dalam konteks kosmologi. Ajaran Islam pula menjelaskan kedudukan alam sekitar yang kudus dan tertib. Itulah rasionalnya alam sekitar dikemukakan sebagai salah satu teras konsep Islam Hadhari.



Pelestarian dan kepentingan alam sekitar disebutkan secara tersurat dan tersirat dalam banyak ayat al-Quran dan hadis diantaranya Allah SWT berfirman yang bermaksud:

"...(iaitu) Orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan mengenai penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, peliharalah kami daripada seksa neraka." (Surah Ali-Imran : 191).

Ayat ini menunjukkan bahawa secara fizikal, alam sekitar dan seluruh cakerawala ini adalah tanda kebesaran Allah SWT Yang Maha Pencipta. Orang-orang yang beriman perlu sentiasa berusaha menjadikan alam sekitar terpelihara dan bersih, bukan saja dalam keadaan aman, malah didalam apa jua situasi.

Ajaran Islam mengajar umatnya supaya melestarikan alam sekitar kerana di sebalik kehijauan hutan dan kebiruan langit, tertera ayatullah yang memperlihatkan sifat Allah SWT Yang Maha Kuasa dan Maha Pencipta.


Tanggungjawab Menjaga Alam Sekitar

Bumi ini bukanlah hak milik manusia untuk berbuat sesuka hati tetapi bumi ini adalah hak milik Allah SWT yang dipinjamkan kepada manusia untuk berkongsi hidup dengan makhluk-makhluk yang lain yang kemudiannya dituntut untuk menjalankan segala perintah Allah SWT diatasnya.

Justeru itu, setiap umat manusia perlu ingat bahawa kehadiran kita ini adalah sebagai khalifah Allah SWT diatas muka bumi yang juga milik Allah SWT. Maka tidak sepatutnya manusia bertindak seperti raja yang seolah-olah tidak akan dipertanggungjawabkan di atas segala yang telah dikerjakannya.

Ingatlah, adalah tanggungjawab kita untuk memelihara dan menjaga alam sekitar dan ingatlah akan azab Allah SWT seandainya kita mengingkari perintahnya!

"Telah berlaku kerosakan di darat dan di laut kesan daripada perbuatan manusia, demikian (supaya Allah) merasakan kepada mereka terhadap (kerosakan) yang mereka lakukan, semoga mereka kembali bertaubat." (Surah Al-Rum ayat 41)

Setiap perbuatan yang baik dan melaksanakan tanggungajawab itu pasti akan mendapat ganjaran yang setimpal... Sesungguhnya Allah SWT itu Maha Adil, Maha Pemurah lagi Maha Bijaksana...

“Tidak ada seorang muslim yang menanam tanaman atau menyemai semaian lalu burung, atau insan atau binatang berkaki empat memakannya, melainkan untuknya (pahala) sedekah”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)





Sumber
: Menjaga Dan Memelihara Alam Sekitar Menurut Islam - Relaks Minda http://relakssminda.blogspot.com/2014/09/menjaga-dan-memelihara-alam-sekitar.html#ixzz42hj3LrXU 

Sunday, December 20, 2015

Dendam

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم
Mendengarnya sahaja sudah membuat jiwa resah dan terusik.
Pasti pelbagai perasaan dirasa yang sudah tentunya berbaur negatif. Dendam itu memakan jiwa, merosakkan rasa dan menyesakkan diri.
Seseorang yang menyimpan dendam pasti berada dalam keadaan tidak senang hati. Mereka merasakan semua serba tidak adil dan perlukan tindakan untuk menuntut bela.
Sementalah ungkapan bibir dan hati terus mengucapkan kata-kata yang tidak enak didengar.
Sifat dendam sangat berkait dengan perasaan marah. Sebagai manusia sememangnya kita dikurniakan pelbagai perasaan.
Rasa gembira, sedih, kecewa, teruja, marah dan pelbagai lagi. Perasaan ini sering berubah-rubah. Namun, perasaan ini perlu ada untuk mencorakkan kehidupan kita.
Dari Abu Hurairah r.a:
“Sesungguhnya seseorang bertanya kepada Rasulullah s.a.w : Ya Rasulullah nasihatilah saya. Beliau bersabda: Jangan kamu marah. Dia menanyakan itu berkali-kali. Maka baginda bersabda, Jangan engkau marah”.
Seseorang yang dalam keadaan marah, emosinya terganggu, fikirannya celaru dan hilang pertimbangannya. Ketika itulah percakapannya mendahului apa yang difikirkan oleh akalnya.

Seperti melepaskan lelah yang panjang. Tanpa berfikir semua kata-kata yang dilontarkan kepada individu yang dimarahinya begitu menyakitkan.
Imam Ghazali pernah bertanyakan kepada anak-anak muridnya:
“Apakah yang paling tajam sekali di dunia ini?”
Mereka menjawab: “Pedang”
Lalu Imam Ghazali menjelaskan bahawa yang paling tajam sekali di dunia ini adalah lidah manusia. Kerana melalui lidah, manusia dengan mudahnya menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri.
Benarlah sabda Nabi Muhammad s.a.w
“Amal yang paling dicintai Allah s.w.t adalah menjaga lisan”
(Hadis riwayat Baihaqi)
Maha Kuasa Allah menciptakan manusia dengan sebaik-baik penciptaan. Cukup sempurna ciptaan Allah.
Antara kekuasaan Allah dapat dilihat dalam penciptaan anggota badan manusia. Sungguh setiap ciptaan Allah itu tidak sia-sia dan pasti ada hikmahnya.
Allah menciptakan manusia dengan dua telinga dan satu mulut supaya kita lebih banyak mendengar daripada berbicara.

Jangan wujudkan walau sedikit pun perasaan dendam dalam diri kita. Dengan memaafkan orang lain bererti anda cukup kuat untuk bisa memahami bahawa manusia tidak sempurna dan bisa berbuat salah.
Dengan memaafkan juga langkah anda menjadi ringan dalam meraih impian.
Sudahkah kita bersedia memperbaiki diri? Jom jadi pemaaf.

Sunday, November 22, 2015

Adab Menuntut Ilmu

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم

Adab menuntut ilmu

Menuntut ilmu merupakan suatu ibadat dan juga jihad pada jalan Allah SWT.  Manusia yang berilmu dipandang mulia oleh masyarakat dan akan meningkatkan martabat umat Islam. Hukum menuntut ilmu adalah wajib bagi setiap orang Islam seperti sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Al-Baihaqi, “ Menuntut ilmu adalah wajib bagi ke atas setiap orang Islam.”
Berikut di antara adab yang perlu diberi perhatian ketika menuntut ilmu.

     1) Mengikhlaskan niat dalam menuntut ilmu


Dalam menuntut ilmu kita harus ikhlas kerana Allah Ta’ala kerana seseorang tidak akan mendapat ilmu yang bermanfaat jika tidak ikhlas kerana Allah.  Memang agak susah untuk ikhlas dalam belajar tetapi kita mesti terus berusaha ke arahnya. Kita yang berada dalam sistem sekular yang banyak mementingkan material menyebabkan kita terlupa bahawa ilmu yang dipelajari bukan sekadar mendapatkan tempat dan kedudukan tetapi untuk menjauhkan diri daripada kejahilan. Ilmu yang bermanfaat mampu menjadi perisai diri dalam mengharungi arus kesesatan dan seterusnya membawa perubahan kepada diri.

2) Tekun berusaha dan tawakkal

Kita perlulah bersungguh-sungguh dalam pembelajaran tanpa menurut keadaan dan masa dengan menghindari perasaan malas dan mudah jemu dengan ilmu yang dieplajari dan ilmu yang bakal dipelajari. Masalah ini dapat diatasi dengan membaca nota atau buku-buku yang kecil dan ringan atau mendengar ceramah ataupun sedikit tazkirah.

            3) Menjauhi maksiat

Kita mestilah menghidupkan budaya amar makruf nahi mungkar dalam diri dan suasana sekeliling mengikut kemampuan yang ada. Sesungguhnya ilmu itu adalah nur yang suci yang mana tidak dipat diperolehi jika diri kita sentiasa bergelumang dengan naji-najis dosa.

4) Memilih rakan yang soleh

Kita hendaklah bijak memilih kawan kerana kawan yang baik mampu membawa kita ke arah kebaikan dan jalan yang diredhai Allah. Hal ini demikian kerana, kawan yang baik akan sentiasa menasihati antara satu sama lain ke arah kebaikan.

            5) Banyakkan zikir 

Kita perlu memastikan solat lima waktu kita dijaga dengan baik dan mengamalkan wirid serta doa selepas solat walaupun ringkas kerana ulamak sufi begitu menitikberatkan perkara wirid ini kerana mampu menghidupkan hati yang mati dan berupaya menghadirkan perasaan ingin memuhasabah diri dengan amalan seharian.

6) Mendapat keredhaan daripada ibu bapa


Kita hendaklah sentiasa menjaga perasaan kedua ibu bapa dan menghormati mereka dalam setiap perkara selagi tidak menyalahi syariat Islam. Kita perlulah sentiasa berhubung dengan mereka dan mengambil berat serta mendoakan kejayaan mereka di dunia dan di akhirat. Ingatlah bahawa keredhaan Allah bergantung kepada keredhaan ibubapa terhadap kita.

            7)  Menghormati guru

Kita juga wajib menghormati guru dan mematuhi segalan arahannya selagi mana tidak meyalahi kehendak Islam. Kita mesti patuh kepadanya walaupun pendapat kita mungkin berbeza. Kita janganlah menganggap guru hanya di sekolah, universiti atau di tempat pengajian sahaja tetapi kita mestilah menganggap mereka sebagai pengajar dan secara langsung sebagai pendidik yang mesti dihormati walau di manapun berada.

            8)  Beramal dengan segala ilmu yang diperoleh

Kita perlu mengamalkan segala ilmu yang dipelajari setakat mana yang termampu. Ulama silam sentiasa mengingatkan kita bahawa orang yang berilmu dan tidak beramal dengan ilmunya akan dihumban ke dalam api neraka terlebih dahulu daripada mereka yang menyembah berhala. Jadikanlah ilmu yang dipelajari sebagai benteng daripada terjerumus ke dalam kancah kehinaan dan jadikanlah juga sebagai senjata dalam mematahkan serangan musuh Islam serta jadikanlah sebagai ubat yang mujarab dalam menyembuhkan penyakit.