Sunday, December 20, 2015

Dendam

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم
Mendengarnya sahaja sudah membuat jiwa resah dan terusik.
Pasti pelbagai perasaan dirasa yang sudah tentunya berbaur negatif. Dendam itu memakan jiwa, merosakkan rasa dan menyesakkan diri.
Seseorang yang menyimpan dendam pasti berada dalam keadaan tidak senang hati. Mereka merasakan semua serba tidak adil dan perlukan tindakan untuk menuntut bela.
Sementalah ungkapan bibir dan hati terus mengucapkan kata-kata yang tidak enak didengar.
Sifat dendam sangat berkait dengan perasaan marah. Sebagai manusia sememangnya kita dikurniakan pelbagai perasaan.
Rasa gembira, sedih, kecewa, teruja, marah dan pelbagai lagi. Perasaan ini sering berubah-rubah. Namun, perasaan ini perlu ada untuk mencorakkan kehidupan kita.
Dari Abu Hurairah r.a:
“Sesungguhnya seseorang bertanya kepada Rasulullah s.a.w : Ya Rasulullah nasihatilah saya. Beliau bersabda: Jangan kamu marah. Dia menanyakan itu berkali-kali. Maka baginda bersabda, Jangan engkau marah”.
Seseorang yang dalam keadaan marah, emosinya terganggu, fikirannya celaru dan hilang pertimbangannya. Ketika itulah percakapannya mendahului apa yang difikirkan oleh akalnya.

Seperti melepaskan lelah yang panjang. Tanpa berfikir semua kata-kata yang dilontarkan kepada individu yang dimarahinya begitu menyakitkan.
Imam Ghazali pernah bertanyakan kepada anak-anak muridnya:
“Apakah yang paling tajam sekali di dunia ini?”
Mereka menjawab: “Pedang”
Lalu Imam Ghazali menjelaskan bahawa yang paling tajam sekali di dunia ini adalah lidah manusia. Kerana melalui lidah, manusia dengan mudahnya menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri.
Benarlah sabda Nabi Muhammad s.a.w
“Amal yang paling dicintai Allah s.w.t adalah menjaga lisan”
(Hadis riwayat Baihaqi)
Maha Kuasa Allah menciptakan manusia dengan sebaik-baik penciptaan. Cukup sempurna ciptaan Allah.
Antara kekuasaan Allah dapat dilihat dalam penciptaan anggota badan manusia. Sungguh setiap ciptaan Allah itu tidak sia-sia dan pasti ada hikmahnya.
Allah menciptakan manusia dengan dua telinga dan satu mulut supaya kita lebih banyak mendengar daripada berbicara.

Jangan wujudkan walau sedikit pun perasaan dendam dalam diri kita. Dengan memaafkan orang lain bererti anda cukup kuat untuk bisa memahami bahawa manusia tidak sempurna dan bisa berbuat salah.
Dengan memaafkan juga langkah anda menjadi ringan dalam meraih impian.
Sudahkah kita bersedia memperbaiki diri? Jom jadi pemaaf.

No comments :