Showing posts with label Sunnah. Show all posts
Showing posts with label Sunnah. Show all posts

Saturday, September 10, 2016

Kelebihan Hari Arafah

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم
Hari Arafah adalah hari pertemuan dan perjumpaan besar antara hamba yang merdeka dan Tuhannya yang Maha Menerima Taubat lagi Maha Mengasihani, kerana hari Arafah adalah hari makrifah, hari kebebasan, hari doa, hari kesempurnaan agama dan nikmat dan hari perpisahan.
.
Terlalu banyak keistimewaan dan kelebihan Hari Arafah di antara ialah:
.

1.  Hari Kemuliaan

Di antara kemuliaan hari ini ialah Allah SWT telah bersumpah dengan hari Arafah.
Firman Allah SWT:

(وَالسَّمَاءِ ذَاتِ الْبُرُ‌وجِ ﴿١﴾ وَالْيَوْمِ الْمَوْعُودِ ﴿٢﴾ وَشَاهِدٍ وَمَشْهُودٍ ﴿٣

“Demi langit yang mempunyai tempat-tempat peredaran bintang-bintang; Dan hari (pembalasan) yang dijanjikan; Dan makhluk-makhluk yang hadir menyaksikan hari itu, serta segala keadaan yang disaksikan.”  (Surah Al-Buruj: 1-3)
.
Rasulullah SAW bersabda: “Makhluk-makhluk yang hadir menyaksikan hari itu ialah hari Jumaat, dan segala keadaan yang disaksikan ialah hari Arafah, Jumaat adalah yang terbaik daripada Allah kepada kita.” (Ad-Dur al-Mantsur: 8/463 dan At-Tabary).
.
Begitu juga Allah SWT telah bersumpah dengan kebesaran hari mulia ini. FirmanNya:

(وَالْفَجْرِ‌ ﴿١﴾ وَلَيَالٍ عَشْرٍ‌ ﴿٢

“Demi waktu Fajar; Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah).”  (Surah Al-Fajr: 1-2)
.
Menurut Abdullah bin Zubair: “Dari 1 Zulhijjah hingga Hari Korban adalah termasuk hari Arafah.” (At-Tabary).
.
.

2.  Hari Disempurnakan Agama-Nya

Hari Arafah adalah hari yang agung kerana hari ini Allah telah menyempurnakan agama-Nya, dan melengkapkan nikmat-Nya:

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَ‌ضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا ۚ

“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agamamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” (Al-Maidah: 3).
.
.

3.  Hari Bulan Suci

Hari Arafah adalah termasuk satu hari dalam bulan-bulan suci di mana Allah SWT berfirman:

إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ‌ عِندَ اللَّـهِ اثْنَا عَشَرَ‌ شَهْرً‌ا فِي كِتَابِ اللَّـهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْ‌ضَ مِنْهَا أَرْ‌بَعَةٌ حُرُ‌مٌ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنفُسَكُمْ ۚ

“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah ugama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya).” 
(Surah At-Taubah: 36).
.
.

4.  Hari Beramal Soleh

Hari Arafah adalah salah satu hari dari hari-hari sepuluh yang dilebihkan untuk melakukan amal soleh seperti yang dikhabarkan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya:
“Tiadalah hari untuk beramal soleh yang paling disukai Allah dari hari-hari ini, iaitu hari-hari sepuluh (10 hari pertama Zulhijjah). Para sahabat bertanya; Wahai Rasulullah..Bukan jihad fi sabillah? Jawab nabi; Ya, Jihad fi sabillah tidak dapat mengatasinya, kecuali seseorang yang keluar berjihad dengan jiwa dan hartanya kemudian dia tidak pulang membawa sedikitpun daripada jiwa dan hartanya itu (menemui syahid).”  (Ahmad, al-Bukhari, Abu Daud dan Ibn Majah) “.
.
.

5.  Hari Pembebasan

Hari Arafah adalah hari pembebasan. Rasulullah SAW telah bersabda:
“Tidak ada satu hari pun yang di hari itu Allah lebih banyak membebaskan hamba-Nya dari api neraka daripada hari ‘Arafah, sebab pada hari itu Dia turun kemudian membangga-banggakan mereka di depan para malaikat seraya berfirman: ‘Apa yang mereka inginkan? ‘” (Sahih Muslim 3275).
Hari Arafah adalah hari yang utama di mana Allah Ta’ala membebaskan hamba-hambaNya dari api neraka dan Allah membangga-banggakan orang-orang di Arafah di depan para malaikat.
.
.

6.  Hari Permohonan Doa

Hari Arafah adalah hari doa dan hari perjumpaan antara hamba yang merdeka dan Tuhannya yang Maha Penerima Taubat lagi Maha Mengasihani. Pada hari pengampunan yang agung ini betapa banyak kebimbangan telah dilepaskan, dan berapa kesedihan telah diredakan dan berapa banyak keperluan telah ditunaikan. Oleh sebab itu Rasulullah SAW menggesa supaya membanyakkan berdoa pada hari yang agung ini. Baginda SAW bersabda:
“Sebaik-baik doa ialah doa pada hari ‘Arafah. Sebaik-baik ucapan yang pernah aku dan rasul sebelumku ungkapkan ialah tiada tuhan melainkan Allah …”(Riwayat at-Timizi).
.
.
.

B.    Pengajaran Daripada Hari Arafah

.
Terlalu banyak pengajaran hari Arafah yang boleh dipelajari, di antaranya adalah:
.

1.  Hari Peringatan

Pada hari ini mengingatkan kita kepada suatu urusan yang agung dan besar, yang menambahkan keimanan dan menguatkan hubungan dengan Pemilik Agama. Iaitu mengingatkan tentang hari kiamat dan melengkapkan persediaan dan bekalan untuk hari itu kerana pada hari itu perasaan tidak terkata dan nurani tidak tertulis, tetapi hanya dapat dinikmati bagi siapa yang melaksanakannya, seperti mana ada bijak pandai pernah mengatakan: “Siapa yang merasa dia tentu tahu.”
Ini adalah hari seumpama hari Perhimpunan terbesar seperti dalam FirmanNya:

إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَةً لِّمَنْ خَافَ عَذَابَ الْآخِرَ‌ةِ ۚ ذَٰلِكَ يَوْمٌ مَّجْمُوعٌ لَّهُ النَّاسُ وَذَٰلِكَ يَوْمٌ مَّشْهُودٌ ﴿١٠٣﴾

“Iaitu hari yang dihimpunkan manusia padanya. Dan hari yang demikian ialah hari yang dihadiri oleh sekalian makhluk.” (Surah Al-Hud: 103).
.
Oleh itu, hari Arafah adalah gambaran kecil dari keadaan sebenar hari kiamat. Demi Allah, sekiranya para jemaah haji memerhatikan pemandangan ini dan bagi yang bukan jemaah haji boleh melihat melalui skrin, tentulah akan mengubah keadaan sedia ada kepada keadaan yang lebih baik dan menjadi hati yang tunduk patuh kepada Tuhan. Semua orang yang menyaksikan pemandangan ini dan perhimpunan orang ramai yang sangat besar di Arafat dan mendengar suara, pekikan dan jeritan, dia akan serta-merta berkata: Maha suci bagi Allah, Maha Suci bagi yang mengetahui bahasa mereka, Maha Suci bagi mampu membezakan suara mereka dan Maha Suci bagi yang tertunai hajat mereka.
.
.

2. Rahmat Tanpa Sempadan

Di Arafat terbuka penutup dan pintu syurga. Oleh itu, para jemaah menuju kepada Tuhan dengan hati yang bersih daripada kegelapan syahwat dan hawa nafsu, dan memancarkan cahaya sehingga menerangi dunia dan semua yang ada termasuklah yang sekecil zarah pun.
Di Arafah terjunjung semangat kemanusiaan tanpa kenal sempadan, antara tuan dan kuli, tua dan muda, kaya dan miskin, raja dan rakyat, mulia atau keji. Di tempat ini satu pelajaran agung iaitu tentang persamaan, di mana tidak ada orang yang boleh membezakan antara kaya dan miskin, tidak juga di antara yang kuat dan lemah, dan tidak juga di antara berkedudukan dan berpangkat dan tidak berkedudukan dan berpangkat.
.
.

3. Menyaksikan Penyatuan Umat

Perhimpunan umat Islam di Arafah pada hari yang mulia ini memberi peluang besar untuk menyaksikan manfaat Haji seperti yang dikehendaki dan disebut oleh Allah SWT:

وَإِذْ بَوَّأْنَا لِإِبْرَ‌اهِيمَ مَكَانَ الْبَيْتِ أَن لَّا تُشْرِ‌كْ بِي شَيْئًا وَطَهِّرْ‌ بَيْتِيَ لِلطَّائِفِينَ وَالْقَائِمِينَ وَالرُّ‌كَّعِ السُّجُودِ ﴿٢٦﴾ وَأَذِّن فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِ‌جَالًا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍ‌ يَأْتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ ﴿٢٧﴾ لِّيَشْهَدُوا مَنَافِعَ لَهُمْ

“Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh. Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka.”  (Surah Al-Hajj: 27-28)
.
Manfaat yang paling penting dan menjadi kewajipan yang tidak dapat dielakkan kepada umat Islam: Keperluan untuk kerjasama antara negara-negara Arab dan Islam. Perjumpaan di Arafah ini adalah peluang besar untuk menghapuskan jurang dan memikirkan tentang keadaan dunia Islam.
Di antara faktor yang membantu untuk mencapai kerjasama ini tercapai ialah; umat Islam adalah satu umat yang menggunakan bahasa yang satu, sejarah masa lalu yang satu, objektif yang satu, penyakit yang satu. Mereka di Arafat menuju kepada Tuhan yang satu , memakai pakaian yang satu, pada masa yang satu dan dengan laungan yang satu “Labbaikallah humma labbaik….”Semua ini membantu untuk mencapai kerjasama yang membuahkan kemajuan, kemakmuran,kecintaan dan keintiman, dan menggemblingkan tindakan yang memuaskan hati rakyat negara Arab.
.
.

4.  Pesanan Terakhir Rasulullah SAW

Inilah hari agung yang mengingatkan kita kepada makhluk yang paling agung yang pernah dijadikan Allah, mengingatkan kita dengan perhimpunan perpisahan di dalam haji Wida’. Tiada masa yang paling hebat dan tiada perhimpunan yang paling indah, melainkan di saat pertemuan antara utusan Allah yang membawa rahmat kepada seluruh alam bersama dengan orang ramai yang khusyuk dan merendak diri di hadapan Allah, Semua mereka memiliki hati yang sedar dan telinga yang mendengar untuk melihat perpisahan dan kata-kata perpisahan, iaitu kata-kata dari Rasulullah SAW yang tidak berkata-kata menurut hawa nafsunya.
.
Seluruh dunia telah mendengar kata-kata Rasulullah SAW yang telah mengumumkan prinsip-prinsip dan nilai-nilai hidup. Antara prinsip-prinsip yang paling penting ialah:
  1. Menghormati nyawa, harta dan kehormatan.
  2. Larangan riba.
  3. Keadilan iaitu satu ciri Islam yang utama
  4. Melindungi dan menjaga nyawa.
  5. Larangan mempersendakan agama Allah.
  6. Hak lelaki ke atas wanita, hak wanita ke atas lelaki.
  7. Ikatan utama umat Islam adalah ikatan akidah dan Islam. Ikatan ini yang membawa mereka kepada prinsip persamaan dan kerjasama dalam perlaksanaan undang-undang Islam.
.
Pada hari ini, Rasulullah SAW merumuskan untuk umat bahkan semua manusia tentang prinsip-prinsip kemanusiaan dan belas kasihan, dan meletakkan mereka kepada asas-asas keamanan dan kedamaian. Antara pesanan lain dari Rasulullah SAW untuk umatnya: Berpegang teguh kepada kitab Allah dan Sunnah Rasulullah SAW. Rasulullah telah menentukan secara tegas bahawa langkah dan cara terbaik untuk menyelesaikan masalah-masalah yang melanda umat Islam ialah untuk merujuk kepada Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.
.
.

5.  Pembebasan

Sepatutnya umat Islam, yang berada di Arafat dan lain-lain tempat-tempat suci, terutamanya Rumah Allah, jangan melupakan kiblat pertama umat Islam pertama: Al-Aqsa, yang mesti dikembalikan ke pangkuan umat Islam dan membebaskan dari cengkaman bangsa Yahudi. Ini adalah amanah dan tanggungjawab yang akan ditanya oleh Allah kepada kita pada hari kiamat nanti.
Kita memohon agar Allah menjadikan kita pada hari Arafah tergolong orang-orang yang diterima amalnya, orang-orang yang diberikan kemenangan dan orang-orang yang Allah bebaskan dari api neraka.

Sumber : https://shafiqolbu.wordpress.com/2012/10/20/pengajaran-dan-pembelajaran-dari-hari-arafah/#more-5525

Wednesday, June 15, 2016

Fasa Pertama Bulan Ramadhan

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم

Bulan Ramadhan adalah bulan yang dipenuhi keberkatan yang berlimpah yang khusus disajikan Allah SWT kepada hambanya yang mau bertakwa kepadanya. Dimana pada bulan ini akan diberikan kelimpahan rahmat, magfirah serta ampunan. Dari Abu Hurairah Radhiyallahu Anhu, dimana Ia berkata bahwa Rasulullah SAW bersabda: “Awal bulan Ramadhan adalah Rahmah, pertengahannya Maghfirah dan akhirnya Itqun Minan Nar (pembebasan dari api neraka)”.
Pada 10 hari pertama bulan Ramadhan Allah SWT memberikan rahmat  dan limpahan pahala dari berbagai amalan yang kita lakukan selama puasa. Fasa pada 10 hari pertama Ramadhan memang merupakan fasa terberat dan tersulit kerana merupakan fasa peralihan dari kebiasaan pola makan normal menjadi harus menahan lapar dan haus mulai dari subuh hingga maghrib.
Selain itu ternyata tidak hanya tubuh saja yang melakukan perubahan pada fasa 10 hari pertama Ramadhan ini, fikiran kita juga sedang berusaha melakukan penyesuaian dengan penuh kesabaran dan keikhlasan untuk dapat menunaikannya. Oleh sebab itu pada 10 hari pertama Ramadhan ini Allah SWT memberikan keistimewaan dengan membukakan pintu rahmat yang sebesar-besarnya bagi hamba-Nya yang telah sabar dan ikhlas dalam menunaikan puasa selama 10 hari pertama dibulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.

Untuk itu jangan sampai kita melewatkan kesempatan mendapatkan rahmat dari Allah SWT selama 10 hari pertama Ramadhan dengan hanya berdiam diri tanpa melakukan aktiviti. Manfaatkanlah setiap hari dibulan Ramadhan sebagai ladang ibadah. Lakukanlah kebaikan sebanyak-banyaknya dengan memperbanyak tilawah Al Quran, berdoa, solat sunnat, beramal soleh, bersedekah dan membantu orang lain. Selain itu bekerja, memperbanyak silahturahmi, serta menjaga hubungan baik juga merupakan sebuah ibadah. Semoga semua ibadah yang kita lakukan selama bulan Ramadhan diberkahi serta dirahmati Allah SWT.
 Sumber : Gelumbang.com

Friday, May 27, 2016

Cara Rasulullah Tidur

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِي
Seorang yang berusia 60 tahun akan menghabiskan masa lebih kurang 20 tahun untuk tidur. Sekiranya dia tidur mengikut Sunnah Rasullullah saw, maka tidurnya akan jadi ibadat.
Allah swt hanya akan terima ibadat yang dilakukan dengan ikhlas. Tidur adalah ibadat yang paling ikhlas. Seseorang tidak perlu dipaksa atau terpaksa untuk tidur. Ganjaran Allah swt untuk orang yang amalkan Sunnah sangat besar.Sebaliknya, jika seseorang tidur cara selain dari cara Nabi SAW, dia hanya akan dapat kerehatan. Kalau bernasib baik, selama 20 tahun mungkin dia dapat mengumpul 20 kilo tahi mata dan menakung 20 liter atau lebih air liur basi.
1. Sebelum dan selepas tidur baca doa tidur. Ramai orang memperlekehkan doa Masnun (doa harian) tapi hakikatnya harga yang Allah swt janjikan adalah syurga.

2. Jangan tidur menghadap kaki arah Qiblat. Ini adalah kedudukan tidur orang yang telah mati.
3. Barangsiapa yang membaca Tasbih Fatimah, sekiranya dia mati malam itu,dia akan dikira sebagai mati syahid. Apa itu Tasbih Fatimah? Subhanallah 33 X, Alhamdulillah 33 X, Allahuakbar 33 X.
4. Baca 4 Qul tiup ke tapak tangan dan sapu keseluruh badan untuk menghindarkan sihir dan niat jahat manusia.
5. Niat untuk bangun Tahajjud. Sekiranya tidak terjaga, Allah swt akan mengira seolah-olah dia bertahajjud sepanjang malam. Tahajjud adalah sebaik-baik pelindung daripada sihir dan buatan orang.
6. Ambil wudhu sebelum tidur dan Solat Sunat Taubat 2 rakaat.
7. Maafkan semua kesalahan manusia pada kita dan halalkan semua hutang piutang sebelum tidur.Bangun tidur boleh buka fail semula kalau mahu.


8. Tidur cara Rasulullah saw dengan mengiring badan ke kanan dan tapak tangan di bawah pipi.
Banyak lagi Sunnah Nabi saw yang boleh diamal, semuanya mudah untuk dilakukan. Lebih mudah daripada bersolek atau pakai night cream sebelum tidur. Lebih mudah daripada buat senaman ringan sebelum tidur.

Peringatan : Pesan Nabi saw, dilarang tidur meniarap terutama lelaki. Sekiranya tidur dengan kain pelikat, ikat hujung kain supaya tidak menimbulkan fitnah.
Tutup aurat ketika tidur. Kenapa ya? Lelaki yang tidur meniarap, dibawahnya Syaitan/ Jin Betina. Tidur bogel atau tidak menutup aurat akan menghindarkan Malaikat Rahmat dan mengundang makhluk lain.
Sekiranya bersetubuh tanpa membaca doa, Syaitan/Jin akan bersama-sama menjamah isteri kita. Kemungkinan besar benih yang masuk bercampur dengan benih-benih Syaitan/ Jin.
Jadi jangan marah kalau anak-anak ikut perangai “bapa-bapa angkat” mereka ketika kita bersetubuh dulu.
Satu Sunnah yang diamalkan berterusan akan diberi ganjaran 100 pahala mati syahid, sedangkan satu pahala mati syahid sudah cukup untuk menjamin seseorang untuk masuk syurga. Di dalam tidur sendiri ada banyak Sunnah.Antara Sunnah-sunnah Nabi saw sebelum, ketika dan selepas tidur.

Sumber : http://cahayapurnama.com

Sunday, March 13, 2016

Menjaga Dan Memelihara Alam Sekitar Menurut Islam

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم

Sebagai seorang mukmin, kita tidak terkecuali dari tanggungjawab menjaga dan memelihara alam sekitar ini kerana kita telah diamanahkan melalui sabda Rasulullah SAW yang membawa maksud :

"Dunia ini hijau dan cantik dan Tuhan telah melantik kamu sebagai pengurusnya. Dia melihat apa yang kamu lakukan." (Hadis riwayat Muslim).

Alam sekitar membawa maksud :

“Suatu aset atau simpanan sumber-sumber alam sama ada berbentuk material dalam kelompok masyarakat atau populasi tertentu, pada waktu dan tempat yang tertentu bagi menyempurnakan dan memenuhi keperluan manusia dari masa ke semasa”. (Rujuk: Muhammad Sa’id dan Rasyid Ahmad. 1986. Al-Bi’ah wa musykilatiha. Kuwait: Maktabah al-Falah. Hal. 25).

Ibnu Abd. Rabbihi pula menyatakan takrif alam sekitar ini didalam kitabnya al-Jumanah dengan penjelasannya bahawa :

“Alam sekitar ialah yang merujuk kepada kehidupan ciptaan Ilahi dan kebudayaan yang wujud di mana manusia dapat menjalani kehidupan di dalamnya”. (Rujuk: Muhammad Abd al-Qadir Al-Fiqqiyy. 1993. Al-Bi’ah Musykiluha wa Qadayaha. Kaherah: Maktabah Ibn Sina. Hal. 9.)



Kepentingan Menjaga Alam Sekitar

Al-Quran dan sunah telah memberikan satu penekanan yang serius mengenai penjagaan alam sekitar di mana kedua-dua sumber rujukan umat Islam ini menyeru setiap manusia untuk mengekalkan pemeliharaannya sebagai satu kurniaan atau nikmat Allah SWT yang agung.

Ia sama sekali melarang sebarang pencemaran dan kemusnahan alam sekitar disamping menggesa mereka untuk memanfaatkan khazanah alam ini dengan sebaiknya untuk kebaikan bersama disamping memeliharanya. Sesungguhnya usaha murni ini amat disanjung mulia disisi agama Islam bahkan dianggap sebagai ibadat yang agung disisi Allah SWT.

Alam sekitar tidak terhad kepada aspek estetika dan kebersihan fizikal semata-mata. Hakikatnya keseimbangan alam sekitar dan ekosistem memberi kesan ketara kepada keharmonian dan kesejahteraan hidup dan ianya mestilah selari dengan kemajuan negara serta kemakmuran yang dikecapi.

Tanpa rimbunan pokok, maka tadahan hujan untuk bekalan air akan mengurang. Tanpa hutan maka keupayaan menyerap gas karbon dioksida di atmosfera akan berkurangan. Tanpa udara yang bebas bahan cemar, maka kesihatan semua makhluk akan terancam.

Ajaran agama menjelaskan peranan alam sekitar sebagai salah satu unsur terpenting aspek ketuhanan dalam konteks kosmologi. Ajaran Islam pula menjelaskan kedudukan alam sekitar yang kudus dan tertib. Itulah rasionalnya alam sekitar dikemukakan sebagai salah satu teras konsep Islam Hadhari.



Pelestarian dan kepentingan alam sekitar disebutkan secara tersurat dan tersirat dalam banyak ayat al-Quran dan hadis diantaranya Allah SWT berfirman yang bermaksud:

"...(iaitu) Orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan mengenai penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, peliharalah kami daripada seksa neraka." (Surah Ali-Imran : 191).

Ayat ini menunjukkan bahawa secara fizikal, alam sekitar dan seluruh cakerawala ini adalah tanda kebesaran Allah SWT Yang Maha Pencipta. Orang-orang yang beriman perlu sentiasa berusaha menjadikan alam sekitar terpelihara dan bersih, bukan saja dalam keadaan aman, malah didalam apa jua situasi.

Ajaran Islam mengajar umatnya supaya melestarikan alam sekitar kerana di sebalik kehijauan hutan dan kebiruan langit, tertera ayatullah yang memperlihatkan sifat Allah SWT Yang Maha Kuasa dan Maha Pencipta.


Tanggungjawab Menjaga Alam Sekitar

Bumi ini bukanlah hak milik manusia untuk berbuat sesuka hati tetapi bumi ini adalah hak milik Allah SWT yang dipinjamkan kepada manusia untuk berkongsi hidup dengan makhluk-makhluk yang lain yang kemudiannya dituntut untuk menjalankan segala perintah Allah SWT diatasnya.

Justeru itu, setiap umat manusia perlu ingat bahawa kehadiran kita ini adalah sebagai khalifah Allah SWT diatas muka bumi yang juga milik Allah SWT. Maka tidak sepatutnya manusia bertindak seperti raja yang seolah-olah tidak akan dipertanggungjawabkan di atas segala yang telah dikerjakannya.

Ingatlah, adalah tanggungjawab kita untuk memelihara dan menjaga alam sekitar dan ingatlah akan azab Allah SWT seandainya kita mengingkari perintahnya!

"Telah berlaku kerosakan di darat dan di laut kesan daripada perbuatan manusia, demikian (supaya Allah) merasakan kepada mereka terhadap (kerosakan) yang mereka lakukan, semoga mereka kembali bertaubat." (Surah Al-Rum ayat 41)

Setiap perbuatan yang baik dan melaksanakan tanggungajawab itu pasti akan mendapat ganjaran yang setimpal... Sesungguhnya Allah SWT itu Maha Adil, Maha Pemurah lagi Maha Bijaksana...

“Tidak ada seorang muslim yang menanam tanaman atau menyemai semaian lalu burung, atau insan atau binatang berkaki empat memakannya, melainkan untuknya (pahala) sedekah”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)





Sumber
: Menjaga Dan Memelihara Alam Sekitar Menurut Islam - Relaks Minda http://relakssminda.blogspot.com/2014/09/menjaga-dan-memelihara-alam-sekitar.html#ixzz42hj3LrXU 

Sunday, January 31, 2016

Training of Trainers (T.O.T)

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم

Program "Training of Trainers (TOT)" telah berlangsung selama dua hari iaitu pada 29 sehingga 30 Januari 2016. Program ini diadakan untuk memantapkan lagi teknik-teknik penyampaian para nuqaba' dalam menjalankan usrah. Hari pertama program dimulakan dengan Kuliah Dasar 1: Suntikan Semangat Ikhwan yang disampaikan oleh Ustaz Abdul Wafiy bin Hasbullah di Surau Ta'dib.




 Hari kedua dimulakan dengan LDK 1 dan seterusnya Kuliah Dasar 2: Usrah Fun yang disampaikan oleh Ustaz Abdul Hadi. Kuliah Dasar 3: Speaking, yang disampaikan oleh Ustaz Hamidi bin Zamri. Sebelum majlis penutupan program, LDK 2 dijalankan.










Thursday, January 7, 2016

Khasiat Ayat Kursi

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم

Ayat 255 dari Surah Al-Baqarah yang lebih dikenali sebagai‘Ayat Al-Kursi’ ini juga digelar ‘Penghulu Segala Ayat Al-Quran’.
Ayat ini diturunkan selepas hijrah Nabi Muhammad SAW, dengan diiringi oleh beribu-ribu malaikat karena kebesaran dan kemuliaannya. Syaitan dan iblis juga telah menjadi gempar kerana adanya satu alamat yang menjadi perintang dalam perjuangan mereka. Maka Rasulullah SAW dengan segera memerintahkan Zaid bin Tsabit (penulis Al-Quran) agar menulis serta menyebarkannya.
Ayat ini disebut ‘Ayat Kursi’ kerana di dalamnya terdapat perkataan ‘KURSI’, bermaksud‘Tempat Duduk Yang Megah Lagi Yang Mempunyai Martabat’. Iaitu syiar ataskebesaran Tuhan yang meliputi 7 lapis langit dan 7 lapis bumi.



Khasiat menurut ramai alim ulama terdahulu, antaranya;

  1. Syeikh Abul ‘Abas Al-Bunni menerangkan: “Sesiapa membaca ayat Kursi sebanyak hitungan kata-katanya (50 kali), lalu ditiupkan pada air hujan kemudian diminumnya, Insya Allah,dicerdaskan akal fikirannya dan dimudahkannya menerima ilmu pengetahuan.
  2. Mengikut keterangan dari kitab “Asraarul Mufidah” sesiapa mengamalkan membaca ayat kursi setiap hari sebanyak 18 kali; Insya Allah ia akan hidup berjiwa tauhid, dibukakan dadanya dengan berbagai hikmah, dimurahkan rezekinya, dinaikkan darjat danmartabatnya, diberikannya pengaruh sehingga semua orang akan menghormatinya serta terpelihara ia dari segala bencana.
  3. Syeikh Al-Bunni menerangkan: Sesiapa yang membaca ayat Kursi sebanyak hitungan hurufnya (170 huruf), maka Insya Allah, Tuhan akan memberi pertolongan dalam segala hal dan menunaikan segala hajatnya, dan melapangkan fikirannya, diluluskan rezekinya, dihilangkan kedukaannya dan diberikan apa yang dituntutnya.
  4. Syeikh Buni menerangkan: sesiapa yang takut terhadap serangan musuh hendaklah ia membuat garis lingkaran dengan isyarat nafas sambil membaca ayat Kursi. Kemudian ia masuk bersama jamaahnya ke dalam garis lingkaran tersebut menghadap ke arah musuh, sambil membaca ayat Kursi sebanyak 50 kali, atau sebanayk 170 kali, Insya Allah musuh tidak akan melihatnya dan tidak akan memudharatkannya.
  5. Syeikul Kabir Muhyiddin Ibnul Arabi menerangkan bahawa; sesiapa yang membaca ayat Kursi sebayak 1000 kali dalam sehari semalam selama 40 hari, maka demi Allah, demi Rasul, demi al-Quran yang mulia, Tuhan akan membukakan baginya pandangan rohani, dihasilkan yang dimaksud dan diberi pengaruh kepada manusia. (dari kitab Khawasul Qur’an).
  6. Imam Jaafar Shadiq r.a. mengatakan: Sesiapa membaca sekali, nescaya Allah akan menghindar darinya 1,000 kesukaran duniawi, yang terkecil sekali ialah kemiskinan dan kepapaan, dan 1,000 kesukaran ukhrawi, yang terkecil sekali ialah azab neraka.
  7. Salah seorang ulama Hindi mendengar dari salah seorang guru besarnya dari Abi Lababah r.a, membaca ayat Kursi sebanyak anggota sujud (7 kali) setiap hari ada benteng pertahanan Rasulallah SAW.
  8. Sesiapa membaca ayat Kursi ketika hendak tidur, maka Abdurahman bin Auf menerangkan bahawa, ia apabila masuk kerumahnya dibaca ayat Kursi pada empat penjuru rumahnya dan mengharapkan dengan itu menjadi penjaga dan pelindung syaitan.
  9. Mereka yang mengamalkan membaca 7 kali ayat Kursi dan 7 kali bagi setiap 3 Qul selepas selesai Solat Jumaat, Insya Allah akan mendapat hikmah dan kelebihan yang tidak terduga.
  10. Jika berpindah ke rumah baru, maka pada malam pertama menduduki rumah itu, eloklah membaca ayat Kursi 100 kali, Insya Allah anda sekeluarga terhindar daripada gangguan zahir dan batin.
  11. Sesiapa membaca Surah Al-Fatihah, Ayatul Kursi & Surah Al Nash dan diniatkan lalu ditiup pada tengah kepala anak-anak, nescaya boleh menjaga keselamatannya, memudah menerima nasihat dan ia tidak akan bercakap dusta lagi.
  12. Setiap lelaki dan wanita (baik buat isteri-isteri) yang mengamalkan membaca ayat kursi 7 kali sebelum keluar rumah atau semasa perjalanan ke tempat kerja atau kemana sekalipun kecuali bukan niat melakukan maksiat pada Allah SWT maka dia terselamat daripada segala kejahatan yang datang dari syaitan, jin dan manusia. Antaranya:
    • Terselamat dari terkena sihir; seperti ubat pengasih (mengasih seseorang tanpa kehendak hatinya), penganiayaan (santau ), penipuan dan sebagainya kerana semua ini ada bersangkutan dengan jin dan syaitan.
    • Terselamat daripada kejahatan seperti kes ragut, rogol, kecurian, mahupun  terkena pembuli jalanan.
    • Dijauhkan dari musibah jalanan seperti ketika memandu, kemalangan jalanraya, tayar pancit dan sebagainya
Semua khasiat dan fadhilat di atas tidak akan berlaku tanpa izin Allah SWT, bergantung atas keyakinan kita padaNya iaitu hikmah kalamnya terhadap mereka yang beriman dan bertaqwa pada Allah SWT dan RasulNya Nabi Muhammad SAW.
Oleh itu carilah keredaan Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya serta menjauhi segala larangan-Nya di samping berikhtiar dengan sesungguh hati.


sumber : shafiqolbu

Thursday, November 19, 2015

Makanan Sunnah Nabi

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم

Hari-hari yang dilalui tanpa disedari kita alpa dalam pengambilan makanan sunnah junjungan kita Nabi Muhammad SAW yang penuh dengan rahsia tersirat dan baik untuk kesihatan. Kadangkala kita leka dan tidak mengambil peduli terhadap makanan yang kita ambil. Kita jarang sekali menilai makanan tersebut dari aspek kualiti dan kesannya kepada diri yang akan menempuh kehidupan yang kita sendiri tidak tahu pelbagai mehnah yang menanti di hadapan.
Apakah kita tahu rahsia disebalik makanan sunnah ini ? Ya, saya percaya ramai yang mengamalkan pengambilan makanan sunnah tetapi ramai tidak ramai yang meneroka kelebihannya. Akan dikongsikan sedikit info tentang kelebihan makanan sunnah.

Kelebihan Makanan Sunnah :

1)     Buah kurma


Kurma dapat membantu proses peredaran darah, mencegah strok serta baik untuk ibu yang mengandung. Seperti yang dinyatakan di dalam ayat al-Quran tentang kelebihan buah kurma yang dialami oleh Saidatina Maryam ketika beliau mengandung Nabi Isa . Firman Allah S.W.T :
Maksudnya : ‘Dan goyangkan batang kurma itu kepadanya, nanti ia akan gugurkan atasmu kurma yang masak. ( Surah Maryam : 25 )
 

Selain itu, kurma juga dapat membantu mencegah daripada sembelit, lemah otot, sengal-sengal badan serta lesu. Tambahan pula, buah kurma dapat merangsang selera makan serta menguatkan daya ingatan.

2)     Buah kismis


Kismis juga mempunyai kelebihan yang tersendiri. Kismis tidak mengandungi kolestrol atau lemak serta rendah kandungan garam. Di samping itu, kismis juga membekalkan banyak vitamin dan mineral yang penting seperti zat besi, potassium, maasgnesium dan vitamin B1, B3 dan B6. Kismis juga mengandungi zat besi untuk pembinaan darah bagi pengangkutan oksigen ke otak dan ke seluruh tubuh badan.

Lebih-lebih lagi, kismis membantu meningkatkan memori dan hafalan, menajamkan mata serta menyihatkan badan.

3)     Buah tin

Betapa hebatnya buah tin sehingga salah satu surah di dalam al-Quran dinamakan dengannya. Apa yang menyebabkan buah ini mendapat kedudukan istimewa di dalam Islam ? Seperti kurma, kualiti buah tin bertambah seiring dengan kadar pengeringan buahnya. Buah kecil ini ternyata mengandungi kandungan vitamin, mineral, serat dan antioksida yang tinggi.

Buah tin banyak membantu menyihatkan sistem pencernaan. Apabila sistem penghadaman sihat maka segala nutrisi dan khasiat makanan dapat diserap dengan sepenuhnya oleh darah. lebih-lebih lagi, penyingkiran toksin dan sisa buangan dapat dilakukan dengan lebih efisien serta mampu mengawal tekanan darah dalam menangani tekanan.

Keistimewaan demi keistimewaan yang banyak dari buah kecil ini tidaklah mustahil apabila buah ini diangkat sebagai buah dari syurga seperti sabda Baginda SAW : “Sekiranya aku katakan, sesungguhnya buah yang turun dari syurga, maka aku kata, ‘inilah buahnya (tin)’, sesungguhnya buah syurga tiada keraguannya.”Hadis Riwayat Abu Darda; Suyuti

4)     Madu


Madu merupakan satu-satunya makanan yang dihasilkan oleh lebah yang memiliki kesemua komponen keperluan hidup termasuk enzim, vitamin, mineral, kandungan air dan pinocembrin iaitu satu antioksida yang membantu meningkatkan fungsi otak. Madu mampu meningkatkan kadar serapan kalsium dalam badan, haemoglobin dan dapat mencegah dari serangan anemia.

Firman Allah dalam surah an-Nahl :
‘kemudian makanlah daripada setiap macam buah-buahan lalu ikutlah jalan Tuhanmu yang telah dimudahkan. Daripada perut lebah itu keluar minuman madu yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya yang demikian itu benar-benar terdapat tanda kebesaran Tuhan  bagi orang yang memikirkan.’ ( Surah An-Nahl : 69 )

5)     Delima


Buah delima amat kaya dengan sodium dan mengandungi unsur-unsur nutrien seperti vitamin C, kalsium dan fosforus. Buah delima juga berupaya mencegah dan melambatkan penyakit naynyuk atau penyakit Alzheimer. Di samping itu, buah delima dapat membantu menguatkan jantung dan membantu dalam fungsi saraf dan otot.

6)     Susu kambing


Susu kambing adalah makanan penyembuhan yang terbaik bagi membina sistem saraf dan keupayaan mental. Susu kambing mengandungi segala vitamin, mineral, protein dan lemak yang penting bagi pertumbuhan jaringan otak, enzim dan memberi tenaga untuk otak. Selain itu, susu kambing ternyata boleh diminum oleh semua peringkat umur kerana tidak menyebabkan alahan. Susu kambing juga adalah yang terbaik untuk menghasilkan semula sel-sel di dalam badan bagi sesi pemulihan.

Terdapat banyak lagi makanan sunnah yang boleh diamalkan. Jom amalkan ! Jika tidak dapat buat semua, jangan tinggal semua. 

Tuesday, November 10, 2015

Beriadah Mengikut Sunnah Nabi

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم

Islam mendidik umatnya untuk mencapai kesejahteraan akhirat tanpa mengabaikan kesejahteraan di dunia. Oleh itu, bersukan atau beriadah merupakan salah satu cara untuk mencapai kesejahteraan dunia dari segi kesihatan fizikal dan mental. Bersukan dapat menjadikan akal dan tubuh badan lebih sihat dan cergas. Dengan beriadah, kita dapat melakukan ibadah dengan lebih berkualiti. Beriadah juga dapat dijadikan sebagai ladang pahala jika kena dengan caranya. Terdapat beberapa aktiviti riadah yang menjadi sunnah Rasulullah.


 
1. Memanah
Rasulullah pernah menyertai pertandingan memanah bersama-sama para sahabat untuk menggalakkan mereka memanah. Rasulullah bersabda,
"Kamu harus belajar memanah kerana memanah itu termasuk sebaik-baik permainanmu." [HR Bazzar dan Thabarani]
Memanah dapat melatih diri menjadi lebih fokus dan khusyuk dalam melakukan sesuatu perkara. Aktiviti ini juga dapat melatih diri menjadi lebih tenang dan stabil dari segi emosi.

2. Berenang
Rasulullah SAW bersabda, 
“Ajarilah anak-anak kamu berkuda, berenang dan memanah”
[Riwayat Bukhari dan Muslim] 
Semasa berenang, seluruh anggota badan digerakkan untuk melakukan satu pergerakan yang berkoordinasi. Berenang juga meningkatkan daya tahan kardiovaskular (kebolehan mengepam darah ke seluruh badan) seseorang individu.



3. Menunggang Kuda
Berkuda mmpunyai banyak manfaat kepada seluruh anggota badan terutama sekali tulang belakang. Aktiviti ini dikatakan dapat mengelakkan penyakit mental. Kebaikan menunggang kuda ini terletak pada pergerakan 'galloping' semasa menunggang kuda.
Ibnu Umar meriwayatkan. 
“Sesungguhnya Rasulullah SAW. pernah mengadakan pacuan kuda dan memberi hadiah kepada pemerangnya.” (Riwayat Ahmad)

4. Berlumba Lari
Rasulullah pernah berlumba lari dengan isterinya, Saidatina Aisyah. Ada ketikanya Rasulullah menang dan ada ketikanya Baginda kalah semasa berlumba dengan isterinya.
"Rasulullah pernah berlumba lari denganku dan aku mampu mengalahkannya. Pada masa yang lain ketika badanku mulai berisi, Baginda mengajakku berlumba lari lagi dan memenangi perlumbaan tersebut. Lalu kata Baginda: 'Kemenanganku kali ini menggantikan kekalahanku yang dulu.'" [Riwayat Abu Dawud]

PERINGATAN
Dalam melaksanakan aktiviti sukan, jagalah perkara-perkara yang dilarang oleh syariat Islam seperti mendedahkan aurat, pergaulan antara ikhwan dan akhwat tanpa batas serta lalai dalam melaksanakan solat ketika melakukan aktiviti.