بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم
PERINGATAN
Islam mendidik umatnya untuk mencapai kesejahteraan akhirat tanpa mengabaikan kesejahteraan di dunia. Oleh itu, bersukan atau beriadah merupakan salah satu cara untuk mencapai kesejahteraan dunia dari segi kesihatan fizikal dan mental. Bersukan dapat menjadikan akal dan tubuh badan lebih sihat dan cergas. Dengan beriadah, kita dapat melakukan ibadah dengan lebih berkualiti. Beriadah juga dapat dijadikan sebagai ladang pahala jika kena dengan caranya. Terdapat beberapa aktiviti riadah yang menjadi sunnah Rasulullah.
1. Memanah
Rasulullah pernah menyertai pertandingan memanah bersama-sama para sahabat untuk menggalakkan mereka memanah. Rasulullah bersabda,
"Kamu harus belajar memanah kerana memanah itu termasuk sebaik-baik permainanmu." [HR Bazzar dan Thabarani]
Memanah dapat melatih diri menjadi lebih fokus dan khusyuk dalam melakukan sesuatu perkara. Aktiviti ini juga dapat melatih diri menjadi lebih tenang dan stabil dari segi emosi.
2. Berenang
Rasulullah SAW bersabda,
“Ajarilah anak-anak kamu berkuda, berenang dan memanah”
[Riwayat Bukhari dan Muslim]
Semasa berenang, seluruh anggota badan digerakkan untuk melakukan satu pergerakan yang berkoordinasi. Berenang juga meningkatkan daya tahan kardiovaskular (kebolehan mengepam darah ke seluruh badan) seseorang individu.
3. Menunggang Kuda
Berkuda mmpunyai banyak manfaat kepada seluruh anggota badan terutama sekali tulang belakang. Aktiviti ini dikatakan dapat mengelakkan penyakit mental. Kebaikan menunggang kuda ini terletak pada pergerakan 'galloping' semasa menunggang kuda.
Ibnu Umar meriwayatkan.
“Sesungguhnya Rasulullah SAW. pernah mengadakan pacuan kuda dan memberi hadiah kepada pemerangnya.” (Riwayat Ahmad)
4. Berlumba Lari
Rasulullah pernah berlumba lari dengan isterinya, Saidatina Aisyah. Ada ketikanya Rasulullah menang dan ada ketikanya Baginda kalah semasa berlumba dengan isterinya.
"Rasulullah pernah berlumba lari denganku dan aku mampu mengalahkannya. Pada masa yang lain ketika badanku mulai berisi, Baginda mengajakku berlumba lari lagi dan memenangi perlumbaan tersebut. Lalu kata Baginda: 'Kemenanganku kali ini menggantikan kekalahanku yang dulu.'" [Riwayat Abu Dawud]
PERINGATAN
Dalam melaksanakan aktiviti sukan, jagalah perkara-perkara yang dilarang oleh syariat Islam seperti mendedahkan aurat, pergaulan antara ikhwan dan akhwat tanpa batas serta lalai dalam melaksanakan solat ketika melakukan aktiviti.
No comments :
Post a Comment