Sunday, February 14, 2016

Ikhlas

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم


Assalamualaikum kepada semua pengunjung blog PGPI. Cuti sekolah kini hendak habis, esok hari pasti masing-masing akn sibuk melakukan aktiviti mengikut jadual yang telah ditetapkan. Mereka yang masih belajar akan meneruskan pengajian seperti biasa, manakala mereka yang telah mempunyai kerja akan meneruskan pekerjaannya demi mencari rezeki yang halal. Tetapi, sejauh manakah keikhlasan kita dalam mengerjakan amanah yang telah diberikan kepada kita.

Nukilan pada kali ini, kita akan berbincang serba sedikit mengenai sifat ikhlas dalam mengerjakan urusan seharian. Alangkah indahnya sekiranya kita melakukan suatu pekerjaan itu dengan seikhlas hati. Ikhlas merupakan inti pati dalam ibadah, ibadah akan menjadi lebih bermakna sekiranya dilakukan dengan ikhlas erana Allah Ta’ala.

Allah s.w.t telah berfirman di dalam kitabnya dalam surah Al-bayyinah ayat 5 yang bermaksud: “Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepadaNya dalam (menjalankan) agama dengan lurus”. Rasulullah s.a.w jugatelah bersabda, “sesungguhnya Allah tidak menerima amal kecuali jika dilakukan dengan ikhlas dan mengharap redhaNya”.

Secara bahasa, ikhlas bererti bersih daripada kotoran dan menjadikan sesuatu bersih tidak kotor. Maka orang yang ikhlas adalah orang yang menjadikan agamanya murni hanya untuk Allah s.w.t saja dengan menyembahNya dan tidak menyekutukan dengan yang lain dan tidak riya dalam beramal. Begitlah juga dengan pekerjaan yang kita lakukan dalam kehidupan seharian kita. Seandainya kita melakukan pekerjaan kita dengan seikhlas hati sudah tentu ianya akan menjadi ringan kerana mendapat keredhaan daripada Allah s.w.t.

Ikhlas boleh diumpamakan seperti seekor semut hitam yang berjalan diatas batu yang hitam di tengah malam yang gelap, tiada siapa yang mengetahui keberadaan semut itu kecuali dirinya dan Allah s.w.t kerana DIa Maha Mengetahui. Perbuatan ikhlas juga boleh diibaratkan sepertin perbuatan kebaikan yang dilakukan oleh tangan kanan sehingga tidak diketahui oleh tangan kiri meskipun kedua-dua tangan ini antara bahagian tubuh badan kita yang saling rapat.

Orang yang ikhlas biasanya memiliki ciri-ciri seperti:
  •       Sentiasa beramal bersungguh-sungguh dalam suatu pekerjaan, baik dalam keadaan sendiri ataupun ketika bersama orang ramai, baik ada pujian ataupun celaan.
  •       Terjaga dari segala yang diharamkan oleh Allah s.w.t baik dalam keadaan bersama mereka atau jauh dari mereka.
  •       Merasa senang jika melihat kebaikan terealisasi di tangan saudaranya sebagaimana ia merasa senang jika kebaikan terealisasikan di tangannya sendiri.

Kesimpulannya, ikhlas merupakan suatu nilai yang perlu ada dalam diri setiap umat islam. Sekiranya ikhlas digunakan mengikut tujuan untuk mendapat redha Allah, in sha allah semua perbuatan mahupun pekerjaan yang kita lakukan akan menjadi suatu ibadah dengan syarat mengikut syariat islamiyyah. Akhir kalam, ikhlaslah dalam suatu perkara agar hati kita merasa senang untuk melakukan pekerjaan tersebut.

Sekian nukilan dari kami pada kali ini…selamat beramal…
 

No comments :