Wednesday, December 23, 2015

REZEKI MILIK ALLAH

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم



Sesungguhnya rezeki itu milik Allah, Dia memberi kepada sesiapa yang Dia mahu dan Dia juga berhak mengambilnya semula bila-bila masa yang Dia kehendaki. Oleh itu, bersabar dan bersyukurlah dengan apa yang kita miliki pada hari ini. Biarpun sedikit. Dan moga di dalam yang sedikit itu, ada keberkatan. Apatah lagi dalam yang banyak.

Dua Jenis Rezeki
Rezeki Allah  terbahagi kepada dua jenis iaitu rezeki yang umum dan rezeki yang khas. Rezeki umum diberikan kepada sesiapa sahaja dalam kalangan hamba-hambaNYA. Samada muslim, bukan muslim, manusia, haiwan, yang baik, yang jahat dan seterusnya. Pada asasnya sesiapa yang berusaha, mengikuti percaturan alam yang telah Allah tetapkan akan memperolehi rezeki. Seorang muslim yang tidur di rumahnya tidak akan memperolehi ikan dari laut, sebaliknya seorang bukan muslim yang turun ke laut dengan kelengkapan dan ilmu tentang penangkapan ikan akan memperolehinya. Demikian, sayur-sayuran tidak akan tumbuh hanya kerana seseorang itu bersolat tanpa usaha, tetapi yang berusaha menanam walaupun tidak bersolat akan tumbuh sayurannya. Di samping alam itu sendiri mempunyai pelbagai percaturan yang lain; hujan, panas, ribut, musuh, kawan dan pelbagai lagi. Segala usaha untuk mendapatkan rezeki hanya akan terhasil jika Allah izinkan. Samada yang DIA izinkan itu DIA redha ataupun tidak, itu persoalan yang lain. Firman Allah: (maksudnya)

“dan tiadalah suatu pun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah Yang menanggung rezekinya”.
                                                                                                      (Surah Hud, ayat 6)
Rezeki bahagian kedua ialah rezeki khusus untuk hamba-hambaNYA yang terpilih. Allah rezekikan iman, kebahagiaan jiwa, hikmah, ketenangan roh dan seumpamanya. Ini semua tidak diperolehi dengan usaha kebendaan, tetapi dengan kurniaan Allah. DIA maha mengetahui siapakah hamba-hambaNYA yang layak dikurniakan itu semua.
Maka, jangan hairan jika Nabi Musa a.s lebih bahagia dari Firaun yang berkuasa dan memburunya. Jangan hairan jika Firaun itu lebih derita jiwa dari kesakitan golongan yang dia tindas. Demikian juga segala golongan yang zalim yang menindas golongan yang soleh.
Jangan sangka orang yang penuh bangga dengan kekayaan hartanya lebih menikmati kemanisan dan keindahan hidup dibandingkan hamba Allah yang tidak berharta tetapi sentiasa sujud penuh syukur kepadaNYA.
Berusaha
Agama tidak menyuruh kita duduk saja tanpa berusaha mencari rezeki. Tiada dalam Islam bertawakkal tanpa berusaha. Nabi s.a.w menyebut:

“Jika kamu bertawakkal kepada Allah benar-benar tawakkal nescaya Allah merezekikan kamu seperti DIA merezekikan burung. Burung keluar pagi dalam keadaan lapar dan pulang petang dalam keadaan kenyang”.
                                                                              (Riwayat Ahmad, al-Tirmizi dll, sahih)
Ada pihak cuba gunakan hadis ini untuk tidak berusaha atas alasan Allah akan berikan rezeki seperti burung. Itu fahaman yang salah. Hadis ini menceritakan bahawa selepas benar-benar tawakkal, seseorang hendaklah seperti burung yang keluar dari sarangnya pada awal pagi mencari rezeki dan akhirnya pulang kekenyangan. Burung tidak tidur dalam sarangnya tanpa usaha. Demikianlah muslim dengan rezekinya. Alam ini ada peraturan dan percaturan, seseorang hendaklah berusaha. Usaha itu adalah ibadah.

Qana’ah
Usaha berjalan dengan jiwa yang syukur dan qana’ah. Qana’ah bererti akur dengan apa yang diperolehi dari kurniaan Allah. Jiwa pun menjadi lapang dan tenang. Fikiran tidak hanya tertumpu kepada persoalan rezeki yang dilihat semata, juga yang tidak dilihat oleh mata seperti ilmu, bahagia, cinta, kasih dan tenang. Bukan dalam bentuk kebendaan semata, juga dalam bentuk yang lain seperti anak-anak, sahabat, kesihatan, keamanan dan seumpamanya. Sabda Nabi s.a.w:

“Sesiapa yang berpagi dalam keadaan aman pada dirinya, sejahtera jasadnya, baginya makanan hariannya maka seakan dihimpunkan untuk dunia”.
(Riwayat al-Tirmizi, Ibn Majah dll, hadis hasan)
Demikian insan menilai kehidupan dengan penuh kesyukuran. Bukan menolak yang tiada tetapi bersyukur dengan apa yang dikurniakan. Semoga sedikit perkongsian yang diberikan ini dapat memberi manfaat kepada pembaca sekalian.






Sumber : MENGHAYATI ERTI REZEKI ALLAH

               Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin

No comments :