Saturday, June 27, 2015

Sudah 22, Baru 22.


"Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)"
(Al-Mulk :2)


Bagaimana kita memandang umur kita?

Rata-rata remaja, terutama belasan tahun, dan awal dua puluhan(pemuda) memandang usia mereka 'muda'. Apabila dibicarakan akan tanggungjawab, kematangan, keseeriusan dalam hidup, melakukan sesuatu yang besar, maka jawapan-jawapan seperti berikut akan melintas :

"Saya baru 19 tahun"

"Saya baru 21 tahun"

Terasa muda bukan? Baru.
Seakan ada banyak masa lagi untuk dilengahkan, ada banyak masa lagi untuk dibazirkan. Tetapi siapakah remaja yang apabila mencapai umur 18 tahun, berkata:

"Saya sudah lapan belas tahun, Usamah Bin Zaid r.a. sudah mampu menjadi jeneral perang ketika ini. Saya?"

Apabila umurnya sudah mencapai 21 tahun:

"Saya sudah dua puluh, Muhammad Al-Fateh tawan Kota Konstantinopel antara umur dua puluh dua tahun atau dua puluh tiga. Saya ada beberapa tahun lagi untuk menyaingi dia."

Terasa tua. Terasa kematangan itu sepatutnya lebih daripada apa yang telah diusahakan. Terasa sepatutnya dirinya lebih serius menggunakan umur yang ada. Terasa sepatutnya dia berusaha lebih keras dan tegas, bukan bermain-main dengan dirinya.

Di manakah kita? Baru atau sudah?

Sama-sama muhasabah



Virus Melekat 

Virus kefahaman, yang menyatakan bahawa masa muda adalah waktu libur bagi insan, memang telah menyerap masuk ke dalam jiwa manusia hari ini.

Maka dilihat bahawa umur mudanya(yang saya pun tak pasti setakat mana muda itu hendak dihitung) adalah untuk dihabiskan dalam keseronokan. 

Akhirnya terhasillah pemberontakan apabila diajak serius untuk menghadapi kehidupan, muncullah rasa benci apabila diajak untuk matang dalam memikirkan permasalahan ummah, dan melarikan diri apabila diajak untuk mengikuti proses mengislah diri dan masyarakat.

"Saya baru lapan belas tahun lah"

"Saya baru dua puluh dua tahun".

Kita rasa muda. Masih punya banyak waktu. Bukan waktunya  untuk kita bersusah payah. Bukan masanya berpenat lelah. Bukan tikanya membanting tulang. Bukan saatnya memerah otak berfikir untuk ummah. Belum sampai waktu untuk serius. Belum tiba waktu untuk matang.

Kita masih ingin bermain-main. Melalui hidup 'remaja'.



Telah Ditunjukkan Sebaliknya

Sedangkan, kefahaman bahawa waktu muda adalah waktu libur dan sambil lewa tidak pula ditunjukkan oelh Abdullah ibn Umar r.a. 

Beliau duduk di tengah-tengah majlis Rasulullah saw bersama-sama orang tua yang lain, saat usianya masih teramat muda. Dilihat selepas itu beliau adalah yang paling bersungguh-sungguh dalam mengikuti sunnah Rasulullah saw hingga diriwayatkan , beliau berusaha untuk memijak di mana-mana tapak-tapak kaki Rasulullah saw berpijak ketika berjalan. Beliau pernah pergi ke pasar, semata-mata untuk menyebarkan salam, salah satu sunnah Rasulullah saw.

Akhirnya, apakah yang berlaku kepada Abdullah ibn Umar r.a. ini? Beliau menjadi rujukan ummah. Bahkan para Sahabat pernah mencalonkan beliau sebagai calon terbaik untuk menggantikan ayahandanya , Umar al-Khattab r.a. 
Sedang usianya masih muda tatkala itu. 

Adakah pernah wujud dalam dirinya perasaan, "Saya baru berumur sekian sekian, saya tidak sepatutnya bersusah payah untuk melakukan ini dan itu"?

Kefahaman bahawa waktu muda adalah waktu  untuk leka-leka dan tidak mengambil berat akan kehidupan tidak pula ditunjukkan oleh  Usamah Bin Zaid r.a. 

Sedangkan, beliau baru sahaja berusia 18 tahun ketika diangkat oleh Rasulullah saw sebagai jeneral perang menentang Rom ketika itu. Tidak pula dia mengatakan "Saya baru 18 tahun, ya Rasulullah".

Bahkan mengikut sejarah, beliau hendak menerjunkan dirinya ke medan Uhud, tetapi Rasulullah saw melarang kerana usianya masih terlalu kecil ketika ini. Akhirnya pada usianya 15 tahun, dia mula berperang di sis Rasulullah saw dan beliau adalah antara yang tidak terganggu dengan serangan hendap pada perang Hunain, menjadikan dia dalam golongan yang sedikit dalam mempertahankan Rasulullah saw sebelum tentera Muslimin bersatu semula ketika itu. Pastinya, ketika itu usianya lebih muda dari 18 tahun,

Bagaimana?

Kita jenguk sebentar Sultan Muhammad Al-Fateh yang baru berusia 22 atau 23 tahun ketika memimpin tenteranya menawan Konstantinopel. Sedangkan dia masih muda dan tahu bahawa Konstantinopel tidak pernah ditembusi oleh sesiapa semenjak 800 tahun sebelumnya. Mengapa dia, seorang sultan, masih muda, tidak berlibur dan bersenang-lenang sahaja di istana?

Sebab Sultan Muhammad Al-Fateh tidak menganggap dia 'baru 22 atau 23 tahun'. Tetapi dia merasakan , dia 'sudah 22 atau 23 tahun'. Masa untuknya semakin sedikit. Maka dia perlu berusaha keras, bersegera mendapatkan kemenangan.

Tidakkah kita memerhatikan?


"Mereka itu tidak boleh kami ikut!" 

Beberapa remaja menempelak sedemikian. 
Tidak, saya bukannya nak suruh kita semua turun berperang mengangkat senjata. Atau duduk di dalam majlis ilmu para ulama. Saya mahu mengajak diri saya sendiri dan diri kita semua, untuk melihat kita di atas medan kita. 
Kita dan tanggungjawab kita. 

Walaupun kita mungkin tidak mampu mengangkat senjata seperti mereka, turun di medan perang seperti mereka, bukankah kematangan dan keseriusan , itu mampu kita bina?
Disiplin dalam menjalani hidup dan tidak mengisinya dengan perkara-perkara yang lagha(melalaikan) lagi merosakkan, bukankah itu mampu kita lakukan?

Bersungguh-sungguh dalam meningkatkan kualiti diri, menjadi hamba Ilahi yang terbaik, memenuhi sifat-sifat Mukmin, cuma menjadi Mukmin yang proaktif, yang mampu memberikan sumbangan kepada Islam dan sebagainya. 

Ini mampu kita lakukan. Atau adakah kita masih merasakan bahawa usia muda untuk liburan semata?


Hari Tua Mungkin Tidak Menjengah

"Nanti tualah baru fikir semua benda sebegini."

Bagaimana kalau hari tua itu tidak datang, dan kita mati sebelum sempat merasa 'tua'?


"Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasakan mati
(Ali-Imran : 185)

Kalau masa muda kita bermain-main , adakah masa tua kita mampu menjadi satu peribadi yang berkualiti?
Sekiranya masa muda kita habiskan dengan liburan, apakah benar masa tua nanti kita  akan menjadi seorang yang mempunyai kekuatan? Ia tidak mustahil, tetapi, ramai yang tidak mampu jadi sedemikian. Sebab masa mudanya , dihabiskan dengan membina 'dasar kelemahan', yang mana dasar ini tidak mampu dijadikan tapak pembinaan peribadi yang berkualiti. 

Kita umur berapa sekarang?

Apa yang telah kita sumbangkan kepada Islam?

Tahukah kita, apakah umur kita yang Allah kira?

'Ia adalah umur yang telah kita habiskan di atas jalan-Nya. Selain itu, tidak ada maknanya.'

Kita umur berapa?

Baru 22 tahun? Atau sudah 22 tahun?

Wallahu'alam.



"Demi Masa!
Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian 
Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar."
(Al-Asr : 1- 5)

No comments :