Monday, June 8, 2015

BER"TAQWA" KAH AKU?


DEFINISI TAQWA

Para ulama rahimahullah telah menjelaskan maksud taqwa. Di antaranya, Imam Ar- Raghib Al-Ashfahani mendefinisikan bahawa: 


"Taqwa Iaitu menjaga jiwa daripada melakukan perbuatan maksiat, dan meninggalkan apa yang dilarang..."


Imam An-Nawawi pula mendefinisikan taqwa dengan:

"Mentaati perintah dan larangan-Nya"

Maksudnya menjaga diri daripada kemurkaan dan azab Allah SWT.
Oleh itu sesiapa yang tidak menjaga diri daripada perbuatan dosa, bererti dia bukanlah orang yang bertaqwa.

Maka orang yang melihat sesuatu yang diharamkan Allah SWT dengan kedua matanya, atau mendengar sesuatu yang dimurkai Allah SWT dengan kedua telinganya atau mengambil sesuatu yang tidak diredhai Allah SWT dengan kedua tangannya, atau berjalan ke tempat yang dikutuk Allah SWT, ini bermakna orang itu tidak menjaga dirinya daripada dosa.

Mereka yang melibatkan diri dalam kancah maksiat sehingga ia mendapat murka dan seksaan Allah SWT maka ia bermakna ia telah tersingkir daripada barisan orang-orang yang bertakwa.



UKURAN INSAN TERMULIA

 " Daripada Durrah ninti Abi Lahab beliau berkata: "Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW, ketika Nabi sedang berada di atas mimbar, seraya terus berkata : "Ya Rasulullah SAW, siapakah manusia yang paling baik?". Jawab Rasulullah SAW : "Manusia yang paling baik ialah siapa yang paling mengetahui Kitabullah, paling bertaqwa kepada Allah SWT, yang paling banyak menjalankan kerja amar maaruf dan nahi mungkar, dan paling banyak menghubungkan tali silaturrahim." 
(Riwayat Imam Ahmad)


Inilah taqwa yang menjadi ukuran kemuliaan seseorang manusia, bahkan ia tetap menjadi paksi neraca Allah SWT terhadap manusia pada hari akhirat nanti.


Sabda Rasulullah SAW:

 "Sesungguhnya Allah SWT tidak bertanya mengenai kedudukan/pangkat dan keturunan kamu pada hari kiamat nanti. Sesungguhnya orang yang paling mulia di kalangan kamu di sisi Allah SWT ialah siapa yang paling bertaqwa."
(Jam'ul Jawami' : 10788)


"Daripada Abi Hurairah katanya: Rasulullah SAW bersabda : Sesungguhnya Allah SWT tidak melihat kepada paras rupa dan harta benda kamu, tetapi Allah melihat kepada hati dan amalan kamu."




TUNTUTAN TAQWA


Taqwa menuntut kita agar mati sebagai seorang Islam. Bahkan lebih daripada itu, kita wajar mendambakan diri untuk mati di dalam perjuangan Islam. Firman Allah SWT di dalam surah Ali-Imran : 102
Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya; dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam
(QS. Ali Imran (3) ayat 102)

Daripada ayat ini dapat kita simpulkan bahawa seseorang muslim mesti berkomitmen dengan tiga komitmen:

Komitmen Pertama
Komitmen pertama yang perlu ada pada seseorang muslim adalah beriman. Ciri-ciri orang yang beriman ialah seperti firman Allah SWT di dalam surah Al-Anfal: 2-3


Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.(2)


Iaitu orang-orang yang mendirikan sembahyang dan yang mendermakan sebahagian dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka.


Komitmen Kedua

Komitmen kedua yang perlu ada pada seorang Muslim ialah "Ittaqullah" , iaitu bertaqwalah kepada Allah SWT. Seseorang Muslim yang telah mempunyai keimanan yang kuat kepada Allah SWT akan bekerja untuk meningkatkan darjat keimanannya kepada darjat taqwa iaitu menjalankan seluruh perintah Allah SWT  dan meninggalkan semua larangan-Nya.

Komitmen Ketiga

Komitmen ketiga yang perlu ada pada seseorang Muslim adalah "Tamuutun Fil Islam", iaitu mati dalam keadaan Islam. Semoga keimanan dan ketaqwaan yang kita laksanakan dalam hidup ini akan menjadi modal kepada kita untuk menghadapi kematian, dan menjadi modal untuk menjadi orang yang beruntung di dunia dan akhirat nanti.




TAQWA ADALAH JALAN KELUAR SEMUA PERMASALAHAN

Firman Allah dalam Surah At-Talaq(2-3) :


وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا (٢) وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لا يَحْتَسِبُ

Bermaksud: "dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya)" (2)
Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya(3) 




Di dalam ayat di atas, Allah menjelaskan bahawa orang yang mempunyai sifat taqwa akan dibalas oleh-Nya dengan dua perkara, iaitu :

Pertama: " Allah SWT  akan mengadakan jalan keluar baginya"


Ertinya Allah akan menyelamatkan daripada setiap kesusahan dunia dan akhirat.

Kedua: "Allah SWT akan mengurniakan rezeki-Nya daripada sumber yang tidak disangka-sangka." 


Firman Allah di dalam Surah Al-A'raf: 96:


Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.


Menurut Ibnu Abbas RA, dalam ayat yang mulia ini Allah SWT  menjelaskan, seandainya penduduk negeri-negeri merealisasikan dua hal, iaitu iman dan taqwa, nescaya Allah SWT akan melapangkan kebaikan(kekayaan) untuk mereka dan memudahkan mereka mendapatkannya dari segala arah.

Penutup

Kenapa Taqwa adalah tajuk yang dipilih untuk post entry buat kali ini?
Kerana ia adalah benda yang selalu kita lupa jadikan paksi di dalam hidup.
Kita membuat pilihan dalam hidup tanpa memikirkan kesan yang akan kita tanggung di akhirat kelak.
Semua mahu hidup bahagia di akhirat sana, tetapi tak semua mahu hidup dengan cara yang boleh menyampaikan diri kepada bahagia di akhirat sana. 
Ingatlah, Nikmat maksiat itu sementara, tetapi catatan dosa itu terukir selamanya tanpa taubat nasuha yang ikhas lahir dari hati nurani.
Andai dapat dibuka hati dan dilihat keadaannya sekarang, apa rupa hati kita agaknya?
Bersinar putih mewangi kah atau hitam membusuk rupanya?

Wallahu'alam. 

No comments :