Tuesday, January 12, 2016

Tiada air? Itu satu dugaan

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم


                Isu ketiadaan air bukanlah satu isu yang baharu bagi penghuni-penghuni asrama di IPG Kampus Ilmu Khas , mungkin ianya baharu bagi pelajar-pelajar yang baru setengah tahun berada di sini tetapi masalah ini bukanlah satu masalah yang julung-julung kali berlaku di Malaysia. Kita sebagai seorang individu muslim perlulah sedar bahawa apa yang sedang kita hadapi sekarang ini adalah satu ujian daripada Allah S.W.T.

 Tanpa ujian dan dugaan, sudah tentulah hidup kita yang cuma sementara sahaja ini akan menjadi hambar. Sesungguhnya apa sahaja yang ditakdirkan menimpa diri kita, mempunyai tujuan atau hikmahnya yang tertentu. Hikmah itu pula kadangkala kita sedari setelah sesuatu ujian yang menimpa kita itu berlalu atau juga langsung tidak kita ketahui sehingga akhir hayat kita. Allah s.w.t. menegaskan:

Terjemahan : “Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa antara kamu yang lebih baik amalannya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun….”(Surah al-Mulk 67 : 2)
Bersabarlah sahabat-sahabat sekalian dengan ujian yang menimpa kita ini dengan hati yang terbuka serta penuh redha. Hanya dengan cara ini sahaja kita dapat mengatasi segala dugaan dan musibah yang melanda

Dalam kitab Jami’ al-Tirmizi disebutkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda :
Terjemahan : ‘Apabila Allah mencintai sesuatu kaum, maka Dia menguji mereka. Sesiapa yang reda, ia akan mendapat keredaan Allah dan sesiapa yang marah, ia akan mendapat kemurkaan Allah’.
Kesimpulan yang dapat dibuat daripada Hadith ini ialah keredaan Allah bergantung pada sikap kita dalam menerima segala ujian-Nya. Sekiranya kita reda maka sudah pasti Allah akan meredai kita dan menunjukkan laluan yang mudah untuk kita. Akhirnya, kita akan dibimbing untuk menyelesaikan segala kesulitan dengan penuh ketenangan dan kebijaksanaan.

Di samping itu, musibah yang diturunkan oleh Allah s.w.t. juga untuk menguji tahap kesabaran, tingkat kesyukuran selain mengukuhkan keimanan seseorang, khususnya bagi hamba-hamba-Nya yang beriman.

Renungilah kata-kata Abdul Kadir al-Jailani r.h. kepada anaknya:
Wahai anakku, sesungguhnya musibah itu datang bukan untuk merosakkan dirimu tetapi untuk menguji kesabaran dan keimananmu. Wahai anakku, taqdir ialah seperti binatang buas dan binatang buas tidaklah memakan bangkai.”
Sahabat-sahabat, cuba kita imbas kembali sewaktu kita senang dahulu, adakah kita menghargai nikmat air yang telah diberikan? Adakah kita cuba mengelakkan berlakunya pembaziran ketika mengguna air?


Oleh itu sahabat-sahabat, hargailah segala nikmat yang telah diberikan kepada kita dengan kita mengucapkan syukur kepada Allah S.W.T atas segala nikmat yang diberi.

No comments :