Saturday, January 2, 2016

Syurga di Bawah Tapak Kaki Ibu

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ ال

Syurga di Bawah Tapak Kaki Ibu

Firman Allah dalam Surah Al-Isra' ayat 23 :

Maksudnya : "Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-dua sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu maka janganlah engkau berkata kepada mereka sebarang perkataan kasar sekalipun  seperti perkataan "Ah" adalah tidak dibenarkan dan janganlah engkau menengking atau menyergah mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang baik dan mulia ( bersopan santun). "

Dalam Islam, kita dituntut agar berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan tuntutan tersebut adalah suatu kewajipan yang perlu ditunaikan. Hal ini demikian, setiap permulaan kehidupan manusia adalah bermula dengan kelahiran dari seorang ibu.

Islam memandang berat pengorbanan seorang ibu kerana merujuk kepada kepayahan dan kesusahan mereka ketika menggandungkan kita, melahirkan kita, membesarkan, serta mendidik kita sehingga kita mampu berdikari.


Firman Allah dalam surah Lukman ayat 14 :

Maksudnya : "Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada ibu bapanya, ibunya telah menggandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan dari awal mengandung sehingga akhir menyusunya dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun. Dengan demikian bersyukurlah kepadaku dan kedua ibu bapamu dan ingatlah kepada Aku. Akulah jua tempat dikembalikan untuk menerima balasan." 

Pengorbanan mereka adalah pengorbanan yang cukup besar. Maka atas dasar itulah Islam menggandingkan tanggungjawab mentaati ibu bapa mengiringi persoalan mentauhidkan Allah. 

Oleh itu, marilah kita bermuhasabah dan berikrar untuk sentiasa menyayangi dan menjaga hubungan baik dengan ibu kita. Berusahalah agar kita tidak menyakiti hati ibu kita yang selama ini entah berapa kali kita telah menyakiti dan menyentuh hati dan perasaan mereka. Ingatlah, perbuatan menyakiti hati seorang ibu adalah dosa yang cukup besar. Berjanjilah pada diri bahawa kita akan menjadi anak yang soleh kepada kedua ibu bapa kita. Sayangilah mereka sepenuh hati. 

Sumber: Keramat Seorang Ibu karya Mohammad Qayum A. Badaruddin

No comments :