Saturday, March 19, 2016

Jangan Berputus Asa Dalam Berdoa

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم

Setiap orang dianjurkan untuk berdoa, akan tetapi tidak semua doa itu akan terus dikabulkan Tuhan. Ada yang cepat dikabulkan dan ada pula yang lambat. Jika lambatnya doa itu dikabulkan oleh Allah, janganlah berputus asa. Sebab Allah lebih mengetahui apa yang paling baik untuk hamba-Nya. Sehingga tidak mungkin Allah tidak mengabulkan doa hambaNya. Hanya saja diterimanya  doa itu adalah menurut kehendak Allah, bukan menurut kehendak hambanya. 

Ertinya : " Berdoalah kepadaKu, nescaya akan Aku kabulkan permohonanmu itu." 
                                                                                     
                                                                                            ( Al-Mukmin: 60 )

Ayat di atas menjelaskan bahawa Allah pasti mengabulkan semua permintaan hambaNya. Hanya saja cara mengabulkannya itu sesuai dengan pilihan Allah tidak menurut selera orang yang berdoa. Kerana manusia tidak dapat mengetahui manfaat atau mudarat sesuatu yang diminta. 

Oleh itu, kadangkala ada orang yang meminta agar dimurahkan rezeki dan dikurniakan anak. Permintaannya itu didasarkan atas perkiraan, bahawa jika rezekinya murah, serta mempunyai anak, tentu akan bermanfaat dalam kehidupannya. Akan tetapi Allah tidak mengabulkan apa yang dimintanya itu sebab Allah lebih tahu, apa yang dimintanya itu kalau dikabulkan akan memberi mudarat bagi dirinya.

                Ertinya : " Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ianya amat buruk bagimu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui terhadap sesuatu yang tidak kamu ketahui. "

                                                                                                                              ( Al-Baqarah; 216 )

Jadi kalau Allah kadang-kadang tidak mengabulkan permohonan salah seorang hambaNya bukanlah bererti ia menolak, akan tetapi berkemungkinan ada kemudaratan yang terkandung di dalamnya yang akan mencelakakan hamba-Nya justeru itu penolakan juga bererti pemberian. 

Dalam suatu riwayat dikatakan, bahawa pada suatu hari ada orang melihat Abu Abbas Al Mursi yang sedang dalam keadaan sakit, orang tersebut mendoakan supaya Abu Abbas Al Mursi diberi kesejahteraan oleh Allah. Akan tetapi Abu Abbas Al Mursi berkata ; Adakah kamu mengira bahawa aku tidak memohon kepada Allah untuk kesejahteraanku ? Sesungguhnya saya telah meminta kesejahteraan kepadaNya. 

Abu Abbas Al Mursi kembali berkata :Untuk kamu ketahui, Khalifah Abu Bakar Siddiq juga memohon kesejahteraan kepada Allah, akan tetapi beliau mati terkena racun. 

Justeru itu, bila seseorang memohon kesejahteraan kepada Allah maka mohonlah kesejahteraan menurut yang dikehendaki Allah, kerana yang demikian itulah yang paling baik bagi diri seseorang, walaupun keadaannya tidak sesuai dengan kehendak hawa nafsunya. 

No comments :