بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم
Definisi
Sekiranya dirujuk dan diperhatikan di dalam media massa dan
saluran yang lain, istilah lain yang hampir sama dengan Islamofobia juga
digunakan bagi merujuk kepada fenomena kebimbangan atau fobia kepada Islam.
Istilah seperti ‘Muslim radicalization’, ‘anti-Muslim hate crime’,
‘anti-Islamic phenomena’, ‘xenophobia’ dan ‘religiously based hate crimes’ juga
sering kali digunakan. Namun, Islamofobia masih menjadi istilah yang lebih
popular dan ianya kini diterimapakai secara meluas di akhbar, majalah, media
elektronik dan lain-lain saluran.istilah
Islamofobia ini semakin popular dan mencapai kemuncak penggunaannya selepas 11
September 2001 diikuti dengan pengeboman di Madrid pada 11 Mac 2004 dan
pengeboman di London pada 7 Julai 2005.
Secara umumnya Islamofobia ini merujuk kepada
rasa fobia atau kebimbangan terhadap Islam sama ada pada penganutnya, ajarannya,
budayanya dan apa sahaja yang berkaitan dengan Islam. Menurut Pelapor Khas PBB,
Islamofobia bermakna “suatu permusuhan dan ketakutan tidak berasas terhadap
Islam dan akibat ketakutan atau kebencian pada orang Islam atau majoriti
daripada mereka”. Pentakrifan yang hampir sama diberikan oleh Laporan
‘Commission on British Muslims and Islamofobia’ yang menyatakan bahawa ianya
merujuk kepada “dread or hatred of Islam and, therefore, to fear or dislike all
or most Muslims”atau “irrational fear of Islam or anti-Muslim racism and
continuation of anti-Asian and anti-Arab racism”. Melalui pentakrifan ini,
dapatlah disimpulkan bahawa Islamofobia ini merujuk kepada persepsi negatif
terhadap Islam dalam bentuk diskriminasi pelbagai yang dimotivasikan oleh
ketakutan dan kebimbangan terhadap Islam atau umat Islam.
Manifestasi Islamofobia merujuk kepada situasi
di mana persepsi negatif atau kebimbangan atau kebencian kepada Islam itu
dizahirkan dalam bentuk ekspresi intelektual seperti penulisan karya ilmiah
atau perbuatan yang merangkumi keganasan, protes dan gerakan Islamofobia itu
sendiri. Ada lima kategori Manifestasi Islamofobia yang dinyatakan oleh Dr Zulkifli
Hasan tetapi saya hanya memilih satu daripadanya iaitu :
Media
Peranan media dalam membentuk pendapat umum sememangnya tidak
dapat dinafikan. Media yang pro-barat dan sentiasa mengambil peluang untuk
memberikan imej yang buruk kepada Islam sudah pasti akan terus menyebarkan
berita-berita yang menggambarkan kenegatifan Islam. Misalnya penerbitan filem
‘Fitna’ oleh ahli politik Belanda bernama Geert Wilders yang kemudiannya
disiarkan secara berleluasa menyebabkan masyarakat umum mempunyai pandangan
yang amat negatif terhadap Islam khususnya al-Quran. Ini diikuti dengan liputan
yang sangat berat sebelah mengenai kes pembunuhan Marwa al-Sherbini di Dresden,
Jerman pada 1 Julai 2009 yang bermotifkan benci dan salah faham terhadap Islam.
Media juga menghangatkan lagi isu kontroversi seperti pembinaan masjid di
’Ground Zero’, ’Tea Party Movement’ dan gerakan pengharaman Shari’ah yang
menanamkan kebencian terhadap muslim di Amerika.
Media harus lebih bertanggungjawab dalam memastikan program yang disiarkan
termasuk berita yang dipaparkan tidak menggambarkan perkara yang salah tentang
Islam. Media sepatutnya menerbitkan program dan rancangan termasuk dokumentari
mengenai realiti Islamofobia berdasarkan fakta yang sahih.
Islamofobia bukanlah
fenomena baru di alaf ini. Islamofobia telah lama berlaku sejak zaman awal
perkembangan Islam di mana pada waktu itu Islam dipandang sebagai sesuatu
ajaran yang asing bagi penduduk Mekah. Fakta ini disokong oleh sepotong hadis
Rasullulah Sallallahualaihiwasallam diriwayatkan Abu Hurairah yang bermaksud:
“Islam bermula sebagai
(sesuatu yang) asing dan akan kembali menjadi (sesuatu yang) asing seperti
awalnya. Maka berbahagialah orang-orang yang asing itu”. (Sahih Muslim, Hadis
145, Bab Iman)
Hadis ini secara jelas
membuktikan bahawa Islam juga akan digambarkan dengan pelbagai perkara yang
negatif sepertimana ianya terjadi ketika awal dakwah Rasulullah. Persepsi
melihat Islam sebagai ajaran yang asing dan tidak sesuai dengan budaya, hak
asasi manusia dan nilai-nilai murni adalah perkara yang telah dijangkakan oleh Rasulullah.
Hadis ini memberikan tanggungjawab kepada umat Islam untuk berusaha
memperbetulkan persepsi ini dan seterusnya meletakkan Islam itu di tempat yang
sepatutnya serta difahami oleh masyarakat.
Untuk rujukan yang lebih
mendalam lagi, layarilah laman web https://zulkiflihasan.wordpress.com/2013/10/05/memahami-isu-islamofobia-antara-persepsi-dan-realiti/
No comments :
Post a Comment